Sunday, February 20, 2011

Bernafaslah dengan betul

Bernafas dengan betul adalah asas kepada kehidupan lebih sihat
Hidup bermula dan berakhir dengan mengambil nafas dan itu adalah jelas bahawa kita harus mengisi hidup dengan kebiasaan bernafas yang baik. Tubuh kita memerlukan lebih banyak oksigen untuk berfungsi dengan baik dan untuk membantu membuang produk sisa seperti karbon dioksida. Setiap sel dalam tubuh kita memerlukan banyak oksigen. Sekarang ramai orang sedar tentang mustahaknya kualiti makanan dan minuman yang diambil, tapi tak ramai yang berfikir tentang bagaimana mereka bernafas! 


Pernafasan mempengaruhi seluruh tubuh 
Pernafasan mempengaruhi sistem saraf, jantung, sistem pencernaan, otot, tidur, tahap tenaga, konsentrasi, ingatan dan banyak lagi. Pernafasan juga sistem pembuangan yang terbesar. 70% dari produk sisa yang dihasilkan dalam tubuh kita seharusnya dihapuskan melalui pernafasan. 30% dikeluarkan melalui kulit dan hanya 10% tersisa melalui buah pinggang dan sistem pencernaan.  


Ramai yang bernafas melalui dada 
Menurut suatu kajian di Sweden 83% daripada penduduk dewasa menggunakan pernafasan dada iaitu mereka hanya menggunakan bahagian atas dada. Melalui pemerhatian saya sebagai seorang terapis urutan, mereka yang bernafas melalui dada sahaja mempunyai abdomen yang keras, bahagian usus terasa sakit bila ditekan. Berbeza dengan orang yang bernafas dengan abdomen, bahagian abdomen mereka lembut dan tidak tegang. 

Penjelasan 
Diafragma ialah lembar berbentuk kubah iaitu otot yang memisahkan rongga dada dari abdomen. Inilah otot yang paling penting yang digunakan untuk bernafas. Semasa menarik nafas, diafragma tertolak kebawah seolah-olah mengurut perut, usus dan organ lain di bahagian bawah, serta abdomen membuncit. Semasa nafas keluar, diafragma bergerak ke atas sambil mengurut jantung dan organ atas, abdomen mengempis. Inilah yang berlaku kalau kita perhatikan cara bayi bernafas. Pernafasan abdomen adalah cara bernafas semulajadi.

Apa yang saya lakukan
Sekira saya rasakan abdomen agak keras, saya akan tanya samada klien rasa geli atau tidak, sebab kalau geli otot abdomen mengeras. Sekiranya dia tidak geli, abdomen memang keras, saya akan perhatikan cara dia bernafas. Biasanya mereka bernafas dengan mengembangkan dada dan abdomen tidak bergerak. Saya akan suruh dia membuncit & mengempiskan abdomen. Jangan terperanjat, ada yang gagal melakukannya! Mampukah anda? 
Langkah untuk lakukannya:- 
1. Baring melentang, letakkan tangan sekitar pusat. 
2. Tekan tangan untuk kempiskan abdomen sambil keluarkan nafas perlahan-lahan. 
3. Tarik nafas perlahan-lahan dengan bilangan 1,2,3,4,5 (dalam 5 saat).
4. Tahan nafas dengan bilangan 1,2. 
5. Tekan tangan perlahan-lahan, biarkan nafas mengalir keluar dalam bilangan 1,2,3,4,5,6,7. 
6. Tahan nafas dengan bilangan 1,2. 
Ulang langkah 3, 4, 5, & 6 beberapa kali. 


Apa yang anda rasa? Ketenangan fikiran bukan? Ini bermakna dengan cara pernafasan yang betul kita dapat kurangkan stres. Selamat berlatih. 


Lebih elok kalau anda mampu lakukan pernafasan dengan abdomen buncit & dada mengembang semada nafas masuk, abdomen kempis & dada rilek semasa nafas keluar. 


Pernafasan songsang. 
Ada juga kes-kes dimana saya perhatikan, abdomen kempis & dada mengembang semasa nafas masuk, abdomen buncit & dada rilek semasa nafas keluar. Cuba bayangkan rongga dada & abdomen sebagai sebiji belon yang telah ditiup sederhana, ia umpama memicit sebahagian belon dan udaranya beralih ke bahagian lain. Apa jadi dengan sistem pernafasan? Sudah tentu tidak mampu mengambil oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida seoptimum mungkin. Patutlah tubuh badan kurang sihat.  

Wednesday, February 9, 2011

Kursus yang ditawarkan

1. Bengkel urutan dan menangani masalah badan sendiri
    Semasa umur 8 tahun saya pernah diserang angin ahmar ("kelintasan" istilah orang pantai timur), mulut herot ke kiri, seluruh badan jadi tegang, tangan hanya dapat capai lutut. Berubat secara kampung, banyak kali kena urut seluruh badan. Kesan serangan angin ahmar, bahu dan belakang selalu sakit-sakit dan lenguh. Ada hikmah disebaliknya. Sekarang saya senang bayangkan kesakitan yang dialami oleh klien. Sejujurnya saya jarang dapatkan servis urutan, takut diurut terlampau kuat. Jadi saya buatlah rawatan sendiri. Inilah yang saya ingin kongsi bersama melalui bengkel 4 jam.
    Biasanya mereka yang bekerja di pejabat dengan banyak duduk menggunakan komputer sakit belakang, belikat, bahu, dan kepala. Yang banyak berdiri, berjalan dan duduk bangun sakit pinggang kebawah. Yang paling saya kasihan ialah para guru, sakit seluruh badan. Kaum wanita banyak berkorban, keluarga diutamakan, kalau sakit-sakit badan pun tahan, harapannya lama-lama baiklah tu. Masalahnya kadang-kadang bukannya baik tapi badan dah belajar menyesuaikan diri, makin lama makin teruk, kalau diurut pun perlukan rawatan susulan. Bukankah lebih baik kalau tahu teknik rawatan sendiri? Dengan hanya 5-10 minit kita dapat cegah dari melarat?
    Kumpulan sasar bengkel ialah semua golongan wanita. Jimat masa, jimat belanja, badan sihat, keluarga bahagia.

2. Ibu dan Anak
    Naluri semula jadi anak sangat menyayangi ibu. Cubalah pura-pura sakit, anak yang masih kecil pun tahu mahu menolong. Jadi kenapa tak latih anak untuk mengurut ibu sepertimana yang saya lalui dulu. Tangan anak tak cukup kuat? Itu hanyalah alasan. Pernahkah anda mengalami situasi semasa anda sakit, ada orang membelai atau hanya meletakkan tangan, dan anda dapat rasa sedikit kelegaan? Itulah anugerah Allah, tapak tangan yang kelihatan biasa aje pun adalah bahan terapi. Terpulang kepada kita untuk mengeksploitasi.          
    Kumpulan sasar kursus satu hari ialah ibu berpasangan dengan anak perempuan 12 tahun keatas. Anak belajar urut ibu, ibu tumpang dapat ilmu. Untung kan?

3. Urutan keluarga
    Kita tenguk ibu, ayah, anak, suami, adik beradik sakit. Nak tolong urut tak pandai. Nak cari tukang urut tak tahu di mana. Kenapa tak belajar? Alasan yang biasa saya dengar ialah tangan tak kuat dan tenaga tak seberapa. Tangan saya pun bukannya kuat sangat, itu pun kebiasaannya saya tak perlu guna sepenuh tenaga. Apa rahsianya? Ada dua sebab. Pertama, tahu teknik urutan berkesan dan cara jimat tenaga. Kedua, orang sekarang tidak lagi membanting tulang empat kerat macam zaman dulu, jadi otot-ototnya tak lah sepejal mana (lain lah yang kuat bersukan), urut sikit pun dah terasa sampai ke dalam. Pengalaman membuktikan kecederaan baru lebih cepat pulih, jadi kenapa tunggu sampai melarat?
    Kumpulan sasar kursus satu hari adalah semua wanita yang berminat. Sekiranya bakal menimang cucu, urutan semasa mengandung dan lepas bersalin juga boleh diajar. Tak payah pening-pening kepala cari orang lain.

4. Kursus juruterapi urutan
    Melalui kursus ini saya akan ajar teknik-teknik urutan yang memerlukan pemahaman lebih mendalam tentang anatomi. Anda juga akan diajar cara urutan ibu mengandung, urutan lepas bersalin biasa atau pun caesarean, sakit-sakit badan, dan sebagainya. 
    Kumpulan sasar kursus ialah wanita yang ingin menambah pendapatan. Kursus adalah fleksibel, sama ada secara berkumpulan atau perseorangan.


Kesemua kursus menekankan aspek praktikal supaya anda dapat rasai sendiri dan faham.

- Kalau anda dengar/baca anda boleh tahu.
- Kalau anda lihat anda boleh percaya. 
- Kalau anda dengar dan lihat anda boleh ingat.
- Kalau anda dengar, lihat, dan lakukan sendiri anda boleh ingat lebih lama.
- Kalau ditambah dengan bertanya kemusykilan anda akan ingat dan faham.
- Kalau anda kembangkan ilmu yang ada anda mungkin jadi pakar suatu hari nanti.

    Anda semua dijemput menambah ilmu melalui mana-mana kursus yang saya tawarkan. Bayaran kursus untuk setiap peserta ialah RM300 sehari (RM150 untuk 4 jam). Kursus Ibu & Anak juga dikira sebagai seorang peserta bagi setiap pasangan.
    Tempat, tarikh, dan masa boleh dibincang. Waktu yang dicadangkan ialah 9 pagi - 5 petang dengan waktu rehat untuk minum, makan, dan solat sekadar yang perlu. Sebagaimana anda saya juga tidak mahu membazir waktu. Jadi saya akan cuba kongsi seberapa banyak ilmu dalam jangka masa yang ada. Setiap sesi dihadkan kepada 10 orang supaya tumpuan dapat diberikan. Kalau anda kumpul kawan-kawan untuk mengikuti kursus yang sama, bayaran boleh dikurangkan. Kursus dikhaskan kepada kaum hawa sahaja. Mana-mana wanita yang berminat dan ingin keterangan lanjut sila email kepada rokiahhajiibrahim@gmail.com.

Sunday, February 6, 2011

TERAPI URUTAN MATAHATI

Inilah seni urutan yang berteraskan:-
1. Pengetahuan tentang anatomi. Dulu saya tertanya-tanya juga apa gunanya belajar tentang anatomi, kalau nak urut pun urut aje lah. Rupa-rupanya dengan ilmu anatomi kita akan lebih faham tentang penyebab dan akibatnya. Jadi kita tahu sasaran mana yang hendak dituju. Bila mengurut kita bukan lagi sekadar melihat dengan mata kasar, tapi lebih penting ialah melihat dengan mata hati apa yang ada di bawah kulit tempat tangan kita berada. 
2. Penggunaan deria tangan, mata, & telinga. Tangan digunakan untuk mengesan tempat bermasalah, untuk mengurut dan manipulasi tempat-tempat tertentu. Mata untuk memerhati keadaan klien, postur, pergerakan, atau tindakbalas yang boleh ditakrifkan sebagai mesej kepada kita. Telinga untuk mendengar maklumbalas atau sebarang bunyi yang dikeluarkan untuk menilai samada urutan yang dilakukan berkesan, atau tahap tekanan tangan bersesuaian atau tidak.
3. Teknik urutan yang bersesuaian dengan orang yang diurut pada masa tersebut. Inilah pentingnya mengetahui pelbagai teknik urutan, bukannya setakat guna ibu jari sahaja. Kalau klien seorang penggeli kita ada caranya. Klien yang takut urutan kuat juga boleh merasai nikmat diurut. Klien yang baru bersalin melalui pembedahan dan tak boleh meniarap pun boleh diurut. Jadi keadaan setiap pesakit adalah berbeza yang memerlukan pendekatan berlainan. Keperluan orang yang sama juga mungkin berlainan diwaktu yang lain. Jadi kepekaan tukang urut adalah salah satu kunci keberkesanan urutan. 
4. Pemusatan gerakhati. Tumpu perhatian, guna kuasa minda untuk kesan masalah, dan hilangkan masalah. Syarat ni sangat mustahak terutamanya dalam urutan buang angin. Untuk buang angin tak perlulah kita urut kuat-kuat bagi memecahkan biji-biji angin. Sakit....
5. Jujur, ikhlas, & kreatif. Jujur sebab bukan semua masalah orang yang minta diurut boleh diatasi dengan cara mengurut. Kalau orang terjatuh, bengkak, katanya kaki terseliuh, saya akan tanya samada tulang retak atau tidak sebab saya tak mahu memburukkan lagi keadaan. Ikhlas sebab kalau ikhlas kita akan mengharapkan pertolongan Allah dalam memberi rawatan dan insya-Allah Dia akan menggerakkan seluruh tenaga kita dalam memberi pertolongan. Kreatif - gunakanlah kreativiti anda dalam menunaikan harapan orang. Tak ada acuan tertentu dalam melakukan urutan.


Dengan mematuhi kelima-lima syarat ini insya-Allah urutan kita dapat memuaskan ramai orang.

Friday, February 4, 2011

Perjalanan menuju kerjaya mengurut

     Emak saya, allahyarhamah Hajjah Aishah, mempunyai 13 orang anak dan saya anak kesebelas. Seingat saya dia selalu lenguh betis dan selalu suruh anak cucu urut. Saya tak ketinggalan. Saya mula mengurut dalam lingkungan umur 7 tahun. Emak yang bagi tunjuk ajar walaupun saya tak pernah lihat dia urut sesiapa. Lama kelamaan hanya saya yang mengurut selain tukang urut di kampung.
    Bila dah dewasa, sesekali balik kampung tu ada juga saya urut dia sebab kasih dan kasihan, walaupun saya tak minat. Suatu hari dia cadangkan saya jadi tukang urut. "Boleh tolong orang" katanya. Lepas tu terus jadi minat. Berkat doa seorang ibu agaknya. Itu 20 tahun lepas.
    Buku pertama saya beli ialah THE COMPLETE BOOK OF MASSAGE oleh Clare Maxwell-Hudson. Setiap minggu saya suruh suami baring dan saya urut dia. Wah bukan main lagi seronok dia. Lepas tu arwah abang pula bagi buku Reflexology. Dari situ minat mendalami berbagai jenis urutan dan rawatan berkembang. Berpuluh buku dengan nilai ribuan ringgit saya beli hingga takut masuk kedai buku sebab takut terbeli lagi.
   Kemudian terfikir pula nak pergi kursus mengurut. Ya lah, nak tenguk cara orang lain pula, baru boleh nilai setakat mana kebolehan kita. Kalau tidak asyik syok sendiri aje. Adalah dua kali pergi kursus. Dah buat perbandingan tu beranilah tawarkan khidmat mengurut.
   Perancangan awalnya hanya untuk isi masa lapang setelah bersara, maklumlah ramai yang sakit-sakit setelah bersara sebab biasanya aktif, tiba-tiba banyak rilek. Tak sangka pula ada permintaan, termasuk seorang pakar perbidanan. Terima kasih doktor. Ya saya memang berterima kasih padanya sebab setiap kali mengurut saya akan timba seberapa banyak ilmu. Saya urut, doktor bagi penerangan. Kalau jumpa masalah baru semasa urut pelanggan saya akan tanya, atau pun layari internet untuk cari punca masalah dan cara mengatasinya. Biasanya saya cuba pada diri sendiri dan rasa kesannya. Kalau okey baru saya praktikkan kepada klien, dan berterus-terang serta lakukan dengan cara berhati-hati. Ingat! Sebagai perawat kita jangan sampai mendatangkan kecederaan. Sekiranya ada kemungkinan rawatan boleh mendatangkan kesan sakit selama 2-3 hari, saya bagitau. Terpulanglah mahu mencuba atau tidak. 
   Ramai yang suka cara urutan saya, kata mereka lain dari yang lain. Jadi saya buat kajian apakah ciri-ciri urutan saya yang buatkannya berkesan dan pelanggan suka. Itulah Terapi Urutan Matahati yang ingin saya kongsi dengan siapa saja yang berminat. Ya lah, berapa lama lagilah saya larat mengurut. Sekurangnya kalau saya adakan kursus ilmu yang bermanafaat akan berpanjangan.

Thursday, February 3, 2011

Sakit kepala dan otot trapezius

Anda sakit kepala? Sakit leher? Sakit bahu? Sakit belakang?
    Rupa-rupanya ramai pengidap sakit kepala. Sakitnya pun bermacam-macam ragam. Kalau ditanya dari segi pengalaman mengurut saya akan cakap ia sangat berkaitan dengan ketegangan otot trapezius.

Apa itu otot trapezius?
    Trapezius adalah otot segitiga yang luas bermula dari bawah tengkorak, menghala ke bahagian belakang leher, ke atas bahu, dan memanjang ke bawah hingga ke pertengahan belakang. Ini adalah salah satu daripada otot-otot yang paling kerap menjadi tegang dan sakit. Fungsi otot ini ialah untuk mengangkat bahu, menggerakkan kepala dan leher, menarik tulang belikat, menarik bahu ke bawah, dan menyokong berat lengan.


Antara penyebab otot trapezius sakit? 
- Postur kepala ke depan. Sering kali orang, berjalan, berdiri dan duduk dengan posisi kepala ke depan. Perbetulkanlah postur.
- Tidur mengiring dalam posisi yang salah. 
- Membawa beg berat. Sekiranya memakai beg tangan fikirlah samada kesemua barangan didalamnya perlu dibawa. Bergilirlah antara bahu/tangan kiri dan kanan.
- Menyusu bayi dalam keadaan membongkok dan tiada bantal di pangkuan untuk menyokong berat bayi.
Tidur melentang atau meniarap dengan kepala berpaling ke satu arah dalam masa yang lama. 
Bekerja dalam keadaan membongkok. 
- Bekerja dengan lengan tergantung dari bahu dalam masa yang lama. Dapatkan kerusi dengan sandaran tangan.  
- Sebarang aktiviti yang menggunakan otot-otot trapezius dalam jangka masa lama. 
  
Apa yang saya lakukan?      
- Urut di tempat-tempat mempunyai ketegangan.
- Perhati postur semasa berdiri dan tidur.
- Bagi nasihat untuk mengurangkan masalah.

Pengalaman dan kesimpulan 
    Mereka yang bekerja di pejabat dengan banyak duduk menggunakan komputer biasanya sakit di bahagian belikat dan tengah belakang. Ada juga yang merasa tegang di kening dan urat mata disebabkan keadaan bahu yang melengkung kehadapan dalam masa yang lama. Untuk mengelak masalah, bila ketegangan mula terasa berhentilah sekejap dan lakukan regangan. Ramai kata dia terlampau sibuk jadi kerja mesti diteruskan. Percayalah, dalam keadaan stres prestasi juga menurun. Regangan dapat meningkatkan aliran darah dan oksigen. Anda akan lebih segar dan bertenaga. Memang berbaloi. Cubalah.
    Mereka yang migrain pula biasanya tidur mengiring dalam posisi yang salah. Mereka tidur dengan kepala tertunduk, biasanya kepala di hujung bantal, bantal rendah, atau pun bahu di atas bantal. Cuba bayangkan, tidakkah itu menyebabkan leher tersepit? Tentulah saraf dan pengaliran darah juga terganggu. Saya nasihatkan mereka perbetulkan semua kesilapan tersebut. Pilihlah bantal yang bersesuaian. Tampulah bahagian leher (boleh guna tuala mandi yang digulung) supaya tak tergantung macam jambatan, atau beli bantal kontur, tapi ingat jangan pula letak bahu atas contour pillow, membazir aje...
   Mereka yang tidur melentang pula jangan guna bantal terlampau tinggi sebab anda seolah-olah menunduk dalam jangka masa yang lama. Anda juga perlu tampu leher supaya tidak tergantung dan stres.  

Wednesday, February 2, 2011

Gunakanlah kuasa minda untuk kebaikan

     Alhamdulillah, saya dikurniakan kesihatan yang saya anggap baik. Semasa bekerja dulu jarang sekali mengambil cuti sakit, mungkin 4-5 tahun sekali. Semenjak bersara lebih 3 tahun lepas tak pernah sekali pun saya ke klinik, bahkan semakin sihat & cergas, mungkin berkat doa orang-orang yang pernah saya urut.  Saya biasakan diri peka dengan apa kata tubuh badan. Kalau ada yang tak kena saya akan guna pelbagai kaedah sendiri untuk merawat. Yang mustahak saya sedar kekuatan dan kelemahan sendiri dan mengambil langkah-langkah yang perlu.
   Tip untuk sihat menggunakan minda yang saya praktik sejak dulu. Bila badan rasa lemah dan kurang sihat saya akan bagitau diri sendiri yang saya sihat & tak mahu sakit. Kalau orang tanya saya akan jawab "Alhamdulillah sihat" sebab kalau jawab tak sihat kita menghantar mesej kepada otak agar tak sihat. Bagaimanapun kalau sakit yang perlukan rawatan doktor, umpamanya demam virus, dapatkanlah rawatan. Penggunaan minda hanya berkesan keatas penyakit yang berpunca dari fikiran. Ini kerana kuasa minda boleh membina sikap dan harapan yang positif. Dorongan dari pemikiran positif memberikan perasaan gembira dan ceria. Kesannya ialah tubuh yang sihat.
   Untuk menguji teori ini, cuba anda berdiri dihadapan cermin dan masamkan muka dengan penuh penghayatan. Apa perasaan? Tak seronok kan? Sekarang cuba senyum dengan hati yang paling ikhlas. Perasaan bahagia, ceria, dan lapang dada timbul dengan sendirinya. Betul tak? Jadi sentiasalah senyum. Sepertimana cermin, kalau kita senyum pada seseorang insya Allah dia akan senyum balik pada kita. Persekitaran ceria, rasa bahagia, dan badan sihat.
   Antara contoh kuasa minda yang telah terbukti berkesan:-
  1. Semasa anak saya dalam tingkatan 5 dia mengadu takut untuk menduduki peperiksaan SPM. Ada satu ketika dia hampir blackout semasa ujian bulanan. Jadi saya sarankan dia ulangi ayat berikut "Saya enjoy menduduki peperiksaan ni". Ditakdirkan semasa peperiksaan SPM dia hampir blackout lagi, terus diulang-ulangnya ayat yang saya ajar. Serta-merta fikiran jadi terang & terus dapat jawab soalan. 
  2. Semasa di UM kawannya tak suka mata pelajaran Costing dan gagal sekali. Jadi saya cadangkan setiap pagi dia cakap pada diri sendiri yang dia suka Costing. Alhamdulillah dia dapat faham apa yang diajar dan lulus.
  3. Setiap pagi rakan sekerja fobia untuk ke pejabat sebab tak suka kerja-kerja akaun, walaupun dia berkelulusan bidang akaun. Saya suruh dia ucapkan "I enjoy working in accounting department" sebaik saja terjaga dari tidur setiap pagi. Suatu hari saya terdengar dia menasihati seorang pekerja baru amalkan cara sama. Katanya dia dah seronok kerja.

Semasa mengurut saya banyak guna kuasa minda terutamanya bila klien ada masalah angin dalam badan.  

Tuesday, February 1, 2011

Masalah sakit pinggang, punggung, dan pinggul.

     Pengalaman mengurut menemukan saya dengan ramai wanita yang menderita sakit sekitar pinggang, punggung, dan pinggul (back, sacrum, & pelvic area). Masalah bermula semasa mereka mengandung atau selepas bersalin. Antara ciri-ciri kesakitan yang dialami ialah:-
- sakit pinggang
- sakit sekitar tulang pubik
- sakit sekitar pangkal paha atau pinggul
- sakit jika baring melentang ditempat keras dan kesakitan bertambah buruk ketika berpusing untuk bangun.
- sakit ketika menaiki tangga.
    Untuk memahami puncanya mari kita sama-sama memahami Anatomi Girdel Pelvik. Walaupun ia kelihatan seperti seketul tulang yang besar, ia sebenarnya terdiri daripada empat tulang - Sakrum dan Koksiks di belakang, dan dua tulang pinggul di kiri dan kanan (Ilium). Sakrum dan Ilium disambung dengan Ligamen yang boleh meregang semasa mengandung dan bersalin. Dua tulang Ilium yang bertemu dihadapan disambungkan dengan Simfisis Pubis.  Dalam keadaan biasa jarak Simfisis Pubis sekitar 4-5mm dan meregang sebanyak 2-3mm lagi semasa mengandung. Sekiranya regangang lebih dari kadar ini ia akan mengakibatkan ketegangan di persendian Girdel Pelvik yang lain. 
     Semasa proses bersalin Simfisis Pubis bertambah meregang bagi memberi laluan kepada bayi. Sepatutnya ia kembali kepada keadaan asal, tapi ada sesetengah kes ianya gagal. Sebab itulah semasa berpantang wanita sangat digalakkan memakai bengkung. Sekiranya masalah ini dikesan awal doktor mungkin mencadangkan anda berbengkung setiap masa selama dua minggu bagi merapatkan semula Girdel Pelvik. Anda juga dinasihatkan supaya kurangkan berjalan dan banyak berehat. Kalau masalah ini dibiarkan anda akan menderita berpanjangan dan keadaan bertambah teruk pada kehamilan seterusnya. Sekiranya anda masih mengalami masalah ini saya cadangkan anda berurut.
     Urut semasa mengandung dapat mengurangkan masalah yang disebabkan oleh perubahan fisikal serta memperbaiki otot dan keseimbangan hormon. Pilihlah tukang urut yang faham apa yang dilakukan bagi memastikan keselamatan ibu dan anak. Urutan di bahagian perut tidak digalakkan kerana boleh mengakibatkan tali pusat terbelit. Urutan 12 minggu pertama perlu kebenaran doktor. 
    Ramai yang mengalami masalah tegang otot disebabkan perubahan postur badan. Urutan dapat memberi kelegaan dan merilekkan. Urutan sangat berkesan bagi sesiapa yang berhadapan dengan masalah sakit Girdel Pelvis / Simfisis Pubis Dysfunction (SPD) tetapi perlu dilakukan dengan hati-hari kerana adanya saraf berkaitan sistem pembiakan. 
    Selepas bersalin urutlah seberapa awal yang boleh kerana urutan menolong dalam memperbaiki postur dan kedudukan tulang rangka (alignment) badan. Ramai yang tidak sedar mereka yang bersalin melalui pembedahan juga boleh diurut seluruh badan melainkan perut. Biasanya saya urut lepas seminggu atau setelah ibu selesa berbaring mengiring. Ada juga yang minta diurut selepas dua tiga hari bersalin. Dalam keadaan ini saya urut semasa dia duduk di kerusi.