Thursday, June 2, 2016

Tungku Herba Microwave

Bagaimana ianya bermula.
Saya suka bertungku setiap kali rasa ada yang tak kena dengan badan ni. Berurut tu kurang sebab takut kalau diurut terlampau kuat. Bertungku ni bagus bukan sahaja semasa berpantang tetapi juga bila2 masa terutamanya bila badan rasa sakit2 & banyak angin.

Bila dah mula urut orang bersalin ramai yang minta rawatan bertungku tapi saya tak rajin buat, boring. Biasanya saya ajar mereka bertungku sendiri sambil saya urutkan badan. Masa tu saya tenguk ramai yang beli tungku herba yang kena kukus tu tapi guna 2-3 kali sahaja kerana leceh untuk dipanaskan & kurang berkesan. Jadi saya jahit 1 kain & masukkan rempah ratus kedalam kain tu. Cara guna pula, mula2 panaskan tungku batu, sementara tu sediakan pembalutnya iaitu kain pembungkus tungku, kain mengandungi rempahratus, tuala kecil yang sudah dilembabkan. Bila batu tungku dah panas, angkat & letak atas lapisan pembalut. Tungku yang panas akan menyebabkan tuala basah bertukar kepada wap, seterunya mengukus rempahratus, seterusnya kebaikan rempahratus berpindah ke badan orang yang ditungku. Masalahnya orang tu dapat manafat bertungku hanya pada hari2 saya urut sahaja. Kalau dia nak beli tungku tu pun masalah mendapatkan batu yang sesuai. Bila difikir-fikir, timbullah idea nak buat tungku herba microwave yang mudah diguna, memberikan manafaat herba & tahan lama.
Kenapa tak guna tungku letrik yang kat dalam tu ada air?
Dulu saya biasa juga sarankan orang beli tungku tu. Dulu harganya mahal, sekarang murah tapi sekarang ni kualitinya dah kurang bagus, tak tahan lama, jadi untuk jangkamasa panjang dia perlu pelaburan yang lebih. Selain tu kalau ada tempat2 yang sakit & mahu ditekan2 kita tak boleh buat dengan tungku letrik. 
Melalui pembacaan saya dapati suhu panas & lembab lebih bagus untuk merawat badan dari suhu panas & kering. Setiap rempahratus walaupun kelihatan kering namun tetap mengandungi peratusan lembapan. Disinilah letaknya manafaat tungku herba berbanding tungku letrik, bahkan lebih bagus dari tungku batu.
Sepanjang 7 tahun saya buat tungku herba microwave dah beberapa kali resipinya diubah setelah melakukan kajian & percubaan. Maklumbalas dari pengguna sangat memberangsangkan. Antara komen yang saya terima:-
- Puan A kata suaminya guna sampai 3 tungku herba microwave sebagai alas tidur, walaupun kebiasaannya beliau tidak panaskan dulu. Kesannya, kalau dulu asyik mengigau semasa tidur, sekarang sudah tak mengigau lagi. Sekarang Puan A ikut jejak langkah suami, guna 2 sebagai alas tidur. 
- Puan B retak tulang punggung sebab jatuh terduduk. Dr kata kena baring 3 bulan untuk baik sebab faktor umur. Puan B baring atas tungku herba microwave yang dipanaskan dengan memastikan ia kena pada pinggang & punggung. Hasilnya, selepas 1 1/2 bulan beliau dah boleh berjalan. Kesan sampingan, nyamuk tak pergi ke tempat dia tidur padahal biasanya tempat tu banyak nyamuk. Mungkin bau rempahratus tu yang buatkan nyamuk lari.
- Puan C minta saya urutkan 2 kali dalam masa 5 minggu. Katanya sakit belakang sampai tak boleh pergi kerja. Saya syorkan dia beli tungku herba microwave. Alhamdulillah, masalahnya hilang, dah 6 bulan tak minta urut. Suaminya turut suka guna tungku tu, terpaksalah beli lagi satu supaya tak berebut atau terpaksa tunggu giliran.
- Puan D beli satu untuk ibunya yang kurang sihat. Cuba guna sendiri, sedap rupa nya, terus beli lagi satu. Baru2 ni beli lagi satu, katanya cucunya yang ada masalah lelah suka guna tungku herba ni.
- Abang saya umur 75 tahun, angkat beban berat. Akibatnya sakit pinggang yang amat sangat. Saya berikan 1 tungku herba microwave untuk dipanaskan & baring atas tu, bagi kena tempat yang sakit. Selain dari tu saya cadangkan dia beli TDP infrared lamp yang berharga RM350 sebab sangkaan saya TDP infrared lamp lebih bagus sebab ianya digunakan di hospital2 untuk rawatan. Tau apa dia kata baru2 ni. Tungku herba microwave lebih berkesan dari TDP infrared lamp. Bila saya kata yang saiz besar tu nak jual harga RM80, dia kata sangat murah, patutnya jual harga RM120, Tapi saya kata tak apalah sebab saya mahu lebih ramai orang yang mampu beli dan dapat manafaatnya.

Cara gunanya pun sangat mudah, panaskan, bentang atas tilam (lebih elok guna tilam kekabu kalau ada), & baring atas tungku, bagi kena tempat2 yang bermasalah:-
- Kalau susah bernafas, baring mengiring & bagi tungku kena pada rusuk & sebahagian dada.
- Kalau sakit tengkuk & bahu, Bentag tungku biar sebahagian atas bantal & sebahagian lagi atas tilam. Baring melentang bagi kena tengkuk & bahu hingga belakang.
- Kalau sakit pinggang, letak bantal memanjang ke bawah, letak sebahagian tungku atas bantal & sebahagian lagi atas tilam. Baring melentang bagi kena belakang, pinggang & punggung.
- Kalau ketat pinggul, bentang atas tilam. Baring mengiring bagi kena tempat pinggang, pinggul & paha.
- Kalau lenguh betis, letak tungku atas bantal. Baring melentang atau mengiring, letak betis atas tungku.
- Kalau lenguh bahagian depan paha, letak tungku atas tilam. Baring meniarap bagi tungku kena pada paha.
- Kalau sakit perut, bentang tungku atas tilam. Baring meniarap bagi tungku kena perut dan paha. 
- Kalau bernafas pun rasa penat, letak tungku pada bantal peluk. Baring dan peluk bantal biar tungku kena dada.
- Kalau belakang paha rasa tegang, bentang tungku atas kerusi & duduk.
Banyak cara kita boleh guna tungku herba, ia bergantung kepada kreativiti masing2. Yang pasti kalau kita baring atas tungku kepanasannya tahan lebih lama. Kalau diletak di atas kita kenalah tutup dengan bantal atau selimut tebal supaya suhu panasnya tak mudah hilang. Kalau dah kurang panas, terbalikkan tungku kesebelah lagi satu & kita dapat rasa panas semula.

Tungku ni boleh diguna dalam keadaan berlipat dua. Katakan yang luar kita panggil side A & side B, yang dalam side C & side D. Boleh guna begini: side A ==> side B ==> side A ==> side C ==> side D ==> side C. Tu pun kalau anda masih belum tertidur.
Selamat bertungku...


Makcik Rokiah (Meru, Klang) 012-3159028

Sunday, May 22, 2016

Rawatan Lepas Bersalin.

IBU KU IDOLA KU.
Arwah mak lahir pada 1912, berkahwin pada usia 15 tahun, melahirkan 13 orang anak, saya anak kesebelas.
Arwah mak tak bersekolah tapi sikap positif dan kesungguhannya menjaga kesihatan, penampilan, dan kepandaiannya buat saya kagum.
Saya dilahirkan semasa usia mak 39 tahun, masa adik bungsu lahir umur mak 45 tahun & saya 6 tahun. Sempatlah saya ingat cara penjagaan & rawatan mak sehingga dia dikatogorikan sebagai wanita sihat dan cergas sehingga meninggal pada usia 90 tahun, pada November 2002. Al Fatihah.
Sepanjang dalam pantang mak banyak berbaring atas pangkin kayu, bawahnya tu ada dapur arang, rawatan ni orang panggil bersalai. Sekarang ni dah tak ramai yang praktik cara ni, tapi feedback yang saya dapat dari generasi sekarang yang melalui rawatan ni katanya mula2 tu rasa panas macam tak tahan tapi lama2 rasa sedap pulak. Yang seronoknya susu badan pun jadi banyak. Yelahkan, bila badan dah tak sejuk, pengaliran darah lebih lancar, tentulah susu badan banyak.
Berurut. Biasalah orang bersalin berurut, tapi mak tak berhenti berurut setelah habis pantang. Seingat saya dia sangat rajin berurut, sekurang2nya setiap 1-3 bulan. Berurut ni dia amalkan sehingga usia 80an. Untuk pengetahun, saya tak pernah lihat mak urut orang, walaupun keluarga sendiri.
Bertungku. Ni mak lakukan sendiri, ulang beberapa kali sehari, sepanjang masa berpantang. Bertungku ni pun dia teruskan sampai usia tua, setiap kali rasa badan kurang sedap.
Minum air rebusan herba sepanjang berpantang. Sesekali dia amalkan juga sehingga usia 60an.
Makan makjun. Yang paling dia suka makjun Delima & makjun Warisan. Ni pun dia makan sesekali sampai usia 70an.
Mak orang Kelantan, tak guna bengkung, cuma sapu perut dengan garam kunyit & barut perut.
Yang paling penting sepanjang tempuh berpantang mak rehat secukup-cukupnya. Langsung tak buat kerja rumah, dia hanya jaga baby & badan sendiri. Perhatikan, inilah juga cara orang Cina berpantang, walaupun tempuh pantangnya hanya 30 hari tapi mereka betul2 rehat, hingga sanggup bayar confinement lady RM4K untuk tempuh sebulan. Maaf kalau saya katakan ramai orang Cina lebih sihat dari orang Melayu sebab mereka pentingkan penjagaan kesihatan.
Itu kisah mak. Sekarang kisah saya. Bersalin anak sulung pada 1979, mak datang tolong masak & jaga baby. Urut tukang urut lakukan. Bertungku tu ada sorang makcik lakukan  2-3 kali, lepas tu saya buat sendiri. Saya pakai bengkung Jawa yang panjang tu, sedap..
Suatu pagi tu saya masih berbengkung, nak mandi, bawalah air panas dalam cerek kecil, sekali mak nampak, terus kena marah, katanya "jangan bawak" saya kata "pakai bengkung ni mak", dia jawab " pakai bengkung pun jangan, nanti tua sakit2 siapa nak jaga". Owh... Ni rahsia berguna. Sejak tu setiap kali berpantang saya layan diri sendiri & baby aje. Yelah, kalau asyik sakit2 orang pun menyampah dengan kita kan?
Jamu, bersalin anak pertama makan kapsul herba nenek buat (nenek meninggal tahun 1992, usia 101 tahun), tapi panasnya sampai berpeluh2. Bersalin anak kedua makan jamu Air Mancur. Bersalin anak ketiga saya banyak minum air rebusan manjakani. Orang kata manjakani ni tak tahan pahit kelatnya, tapi masa tu saya kebas2 sampai lidah jadi mampulah minum pekat2 selamba jer. Baru2 ni aje saya tahu rupa2nya manjakani ni rahsia awet muda.
Bila anak & menantu bersalin saya urutkan tapi bab bertungku ni saya suruh mereka buat sendiri, lepas mandi suruh sapu badan dengan minyak supaya tak masuk angin. Saya tak suka param sebab bila kering akan jatuh berguguran ke lantai. Selain tu saya suruh panaskan tungku herba microwave, bentang atas tilam, baring atas tungku. Senang, sambil berehat sambil bertuam. Kalau bentang 3 tungku herba microwave dah jadi macam orang dulu2 bersalai. Kalau bentang atas kerusi & duduk sambil menyusu baby, dah jadi macam bertangas kering.
Pasal jamu semasa pantang, anak bersalin kali pertama saya belikan set berharga RM200+, kali kedua set Indon harga bawah RM100, kali ketiga set Malaysia harga bawah RM100. Pendapat anak, kesannya lebihkurang sama aje. Sekarang anak masih berpantang anak keempat. Saya belikan sepang kederang suruh rebus & minum. Saya dapat tahu tentang kebaikan sepang kederang ni melalui orang2 yang saya urut. Anak juga ambil madu manjakani yang saya buat, dapat kebaikan madu tualang asli & manjakani, rasanya pun lebih mesra pengguna.
Berkenaan dengan bertungku:-
1. Tungku batulah yang paling bagus sebab ia bahan semulajadi, panasnya tahan lama, mampu memecahkan biji angin bila ditekan dengan lama.
2. Tungku besi. Dulu saya suka pakai tungku besi berbentuk bulat (besi sukan baling peluru) sebab panasnya tahan lama & berat, dah tak perlu tekan, sehinggalah saya terjumpa hadis yang berbunyi lebihkurang begini, “Pengubatan itu ada tiga cara, iaitu berbekam, minum madu dan tusukan besi panas tapi aku melarang umatku menggunakan besi panas”. Saya tertanya2 sehingga suatu hari abang cakap "ada sorang lelaki tua bagi tahu tungku besi tak bagus sebab ia menyebabkan rosak saraf" Sejak tu saya terus simpan tungku besi & tak guna sampai sekarang. 
3. Tungku air letrik. Saya pernah guna tungku ni. Biasanya saya sarankan sesiapa yang nak bersalin bawa tungku ni ke hospital. Lepas bersalin, sementara tunggu masa untuk balik ke rumah dah boleh mula bertuam. Masalahnya kita tak boleh tekan2 tungku ni kat badan sebab dia mengandungi cecair. kalau nasib kurang baik, tungku ni cepat rosak.
4. Tungku herba yang bulat & kena kukus sebelum guna. Maklumbalas dari mereka yang beli tungku ni ialah leceh sebab kena kukus selama 15 minit, panasnya tak tahan lama, rasa tak puas sebab ringan sangat. Rata2 mereka menggunanya 2-3 kali sahaja. Satu pembaziran.
Dari pengalaman bertahun2 bertungku, (sampai sekarang pun saya rajin bertungku, bukan masa bersalin aje tau..) dan maklumbalas dari pengguna tungku herba kukus, saya cipta tungku herba microwave. Saya mula buat tungku herba microwave ni 7 tahun lepas untuk kegunaan sendiri, keluarga, dan orang yang saya urut sahaja sebab saya tak suka menjual (lihatlah kandungan blog ni, semuanya tentang perkongsian rahsia sihat cara mudah & jimat). Bila orang yang saya urut banyak angin saya akan guna tungku herba saya untuk panaskan badan dia sambil diurut, kesannya lebih cepat. Kalau badan orang tu selalu sejuk2 & sakit2 baru saya sarankan dia beli.
Enam tahun lepas, semasa urut seseorang dalam pantang, saya katakan "kalau tak nak panggil makcik urut, tak nak bagi duit kat makcik, beli tungku ni, tapi rajin2lah pakai. Kalau beli tapi tak nak guna makcik tak nak jual". Dia yang sentiasa sibuk ni beli dan tak panggil makcik urut hingga hampir 2 tahun. Suatu hari dia telefon, cakap nak order 3 tungku. Rupa2nya dia rajin guna tungku tu hinggalah pakciknya yang kurang sihat datang, dia pinjamkan, terus pakcik tu bawa balik. Sekarang ni dia guna 2 serentak, hanya minta diurut & dibekam setiap 1-2 tahun. Tungku yang dua ni dia dah guna 4 tahun & masih elok.
Ada banyak lagi pengalaman menarik yang dikongsi oleh orang yang dah guna tungku herba makcik ni, tapi nantilah makcik akan kongsikan cerita dalam masa terdekat. Insya Allah.
Dalam masa 7 tahun dari mula buat tungku ni makcik sentiasa buat kajian untuk menambah baik campuran bahan2 & sukatannya. Sekarang dah ada yang berminat untuk memasarkan TUNGKU HERBA MICROWAVE menggunakan resipi terkini, sebab ianya sangat mudah diguna, tahan lama, berkesan, kegunaannya pun mengikut kreativiti pengguna. Bahkan ada seorang pengguna tu tak ada microwave, dia cuma letakkan atas dashboard kereta, bila cuaca panas tungku jadi panas, dah boleh guna.

Kat mana nak beli? Nah, tanya kat sini:
https://www.facebook.com/produk.kesihatan.darul.falah/
Makcik Rokiah, Meru, Klang. 012-3159028

Friday, June 12, 2015

Rahsia saya…. BANYAK MINUM AIR

Seperti tahun2 lepas sempana ulang tahun ke 64 saya update lagi di blog ni. Alhamdulillah saya sihat. Nak sihat kita mesti bina satu lebuhraya cita2 ingin jadi sihat dan kekal sihat.Tujuan membina lebuhraya itu adalah untuk menjaga amanah Allah yang meminjamkan jasad ini sebagai raga untuk menempatkan roh kita semasa hayat di dunia.Jangan cakap "ikut suka akulah nak buat apa pun, kalau sakit aku tanggung sendirilah" Ingat! Jasad kita bukan kepunyaan kita.
Saya katakan tadi bina lebuhraya cita2, bukan angan2. Mesti ada planning, kalau jumpa halangan atau kesukaran fokus kepada penyelesaian bukan kepada masalah, teruskan misi hingga sampai ke destinasi. Hidup dalam keadaan sihat sangat mengembirakan, jimat, dan tanpa stress. Insya Allah.
Industri makanan & minum kesihatan sangat mendapat sambutan tapi perlu perbelanjaan besar. Hasilnya belum pasti. Kenapa perlu membazir duit? Bukankan lebih jimat kalau kita membudayakan cara hidup sihat semenjak kecil melalui aktiviti fisikal, pemakanan sederhana, dan minum secukupnya?

Saya ingin kongsi satu pengalaman minggu keempat Syawal 2012. Seorang kawan telifon:
Kawan : "Kak, pagi esok boleh datang urut anak saudara saya, dah 3 tahun bila nak raya dia tak boleh berjalan."
Pagi esoknya saya pergilah. Rumahnya tak jauh dari rumah saya. Sampai di sana baru saya terfikir, kalau ni penyakit misteri macam mana? Saya bukannya tahu pengubatan Islam. Sebab dah sampai sana saya pun masuklah. Anak saudaranya seorang kanak2 perempuan, darjah 6, cantik & berbadan slim. Dah boleh berjalan perlahan-lahan.
Dalam dok fikir2 tu teringatlah saya bilamana sampai minggu ketiga & keempat Ramadhan ramailah orang mengadu sakit2 badan. Hah, ini satu clue… Saya ajak girl meniarap atas karpet bersama dengan kawan tu.
Saya : Ok, sekarang kita sama2 angkat kepala & lengkungkan badan kebelakang. Boleh menekan dengan tangan (untuk support badan & lihat berapa lenturnya badan).

Kawan dan saya dapat angkat kepala hingga dagu melebihi 40cm dari karpet. Kasihan, girl hanya mampu mengangkat lebihkurang 10cm sahaja. Sah. Badannya sangat kejang, tak cukup air dalam badan. Kalau urut pun tak ada kesan, sakit lagi adalah. Peringatan: kalau nak dapatkan rawatan urutan pastikan minum banyak air supaya otot2 senang lembut. Bukankan badan kita sepatutnya mengandungi lebihkurang 60% air? Bukankah asal usul kita dari tanah? Bukankah tanah liat yang ingin diadun jadi pasu pun perlu air mencukupi?

Saya : Setiap hari minum berapa gelas air?
Girl : 4 cawan.
Saya : Hari ni makcik tak nak urut. Kita main2 aje tapi sebelum tu pergi minum air kosong seberapa banyak yang boleh.
Ibu girl : Kalau perut buncit macam mana?
Saya : Nak cantik atau nak sihat?
Ibunya tak jawab. Selasai minum girl datang.
Saya : Berapa banyak minum?
Girl : 4 gelas.
Saya : Sekarang kita duduk kat karpet, kita main2.

Kami pun duduk bersila berhadapan. 
Saya : Sekarang kita goyang2 badan. Kita gerak2kan tangan. Goyang2 kepala. (Macam2 lagilah pergerakan yang kami lakukan sambil duduk tu. Dah rasa tenaganya meningkat saya suruh dia duduk di kerusi sofa). 
Saya : Sekarang gerak-gerakkan kaki. Lurus, bengkok, lurus, bengkok.
Saya : Sekarang berdiri, pegang pada kerusi sofa. Goyang-goyangkan punggung. Tulis hurus A,B,C,…. dengan menggunakan punggung. Buat ketuk ketampi tapi tangan pegang sofa.
Sejam lebih jugalah kami dok main2 tu kami pun berhenti.
Saya dimaklumkan yang girl tak melakukan aktiviti fisikal. Balik sekolah duduk depan PC. Pergi sekolah, waktu rehat tak pergi kantin sebab badan lemah, kawan2 tolong belikan makanan. 
Lepas sesi main2 kawan, ibu girl & saya duduk makan minum di meja, belakang saya tangga ke tingkat atas. Tiba2 mereka kata " tenguk tu… dia naik sendiri ketingkat atas". Rupa-rupanya selama ni kalau nak naik tangga dia terpaksa dipimpin. Lihat... kesan air mencukupi dalam badan. Raya tahun2 berikutnya girl tak lagi menghadapi masalah tak boleh berjalan.
Pesanan saya jangan takut minum kerana tak nak asyik berulang ke bilik air. Bayangkan betapa siksanya pesakit kegagalan fungsi buah pinggang apabila terasa hendak kencing yang teramat sangat tapi tak mampu keluarkannya. Kenalah dialisis 3 kali seminggu. Lagi leceh & perlu perbelanjaan yang tinggi.
Bersyukurlah dengan nikmat yang dikurnikanNya. Jagalah, peliharalah dengan sebaik mungkin, jangan kufur nikmat.

Sempena Ramadhan yang akan menjelang minggu depan, pastikan anda minum air secukupnya agar sihat & dapat beribadah dengan sempurna. Selamat berpuasa.
Makcik Rokiah, Meru, Klang. 012-3159028

Wednesday, April 1, 2015

GST? - Gangguan Stress Terlampau

Sekarang ni kecoh pasal GST. Walaupun kekecohan timbul sejak tahun lepas, ramai yang merungut dan membangkang, GST tetap dilaksanakan. Saya tak naklah komen pasal GST tu, cuma kesannya kepada kesihatan kita dan kemampuan kewangan kita.
A) Kesihatan kita.
      Jangan dok fikirkan sangat pasal masalah tu, ia akan menjejaskan kesihatan. Kalau dok fikirkan saja pun bukannya boleh menyelesaikan masalah. Lebih baik fikir cara mengatasi masalah.
B) Kemampuan kewangan.
       Disini ada dua kaedah yang boleh dipilih. Boleh pilih mana satu tapi kalau pilih kedua-duanya lagi bagus. Syaratnya perbetulkan niat. Niat hendak lakukannya untuk menambahkan rezeki halal untuk menyara keluarga dan bersedekah kerana Allah Taala.
Perhatikan saya tak suruh minta jadi kaya. Kaya tu subjektif, dan kaya tak dapat menjamin kebahagian. Saya pernah bertanya kepada seorang jutawan semasa mengurut beliau (biasalah masa urut tu borak2, dari bercerita yang tak berfaedah lebih baik berkongsi ilmu).

Soalan: Apa rasanya jadi kaya? (Yalah, kita orang biasa, tak dapat jadi kaya dapat bayangkan rasa jadi kaya pun cukuplah)
Jawapan: Tak ada bezanya jadi orang kaya atau orang biasa sebab kaya itu subjektif. Ada orang RM4juta dah rasa cukup, tapi ada orang RM9juta pun masih belum rasa cukup. Cuma, bila kaya kita mampu beli, tapi adakah itu keperluan atau kemahuan. Kekayaan dan kebahagiaan sebenar terletak di jiwa.
Kesimpulan yang boleh saya buat dari jawapannya:
   - Tenangkan jiwa, jaga hubungan dengan Allah
   - Berbelanja ikut akal fikiran, bukan ikut nafsu.
   - Jangan kejar kekayaan, ianya umpama bayang2, makin dikejar makin lari.
Berbalik kepada 2 kaedah yang saya sebutkan tadi:-
1) Plan perbelanjaan anda.
Ini sangat sesuai bagi orang yang bekerja makan gaji. Katakanlah gaji yang boleh dibawa balik RM2500. Dengan duit sebanyak itulah kita nak langsaikan segala bayaran dan perbelanjaan. Saranan saya, buatlah budget bulanan untuk beberapa bulan kehadapan. Sekiranya anda mendapat bonus tahunan, buatlah sampai ke bulan bonus. Gaji bulan bonus merupakan reserve tank anda.
Senaraikan segala bayaran & perbelanjaan, sama ada yang bulanan atau berkala, susun dari yang wajib hingga kepada yang pilihan, dan jangan lupa sedikit reserve bulanan untuk perbelanjaan yang tak terduga. Tuliskan berapa jumlah bagi setiap perbelanjaan. Berapa jumlahnya? Cukup? Kalau belum cukup, perhatikan mana2 perbelanjaan yang boleh ditangguhkan tapi penangguhan ini hanya setakat bulan bonus sahaja kerana itulah sahaja talian hayat anda.
Masih tak cukup? Teliti senarai tadi semula. Adakah semua perbelanjaan itu keperluan? Kalau bukan, potong!
Masih tak cukup juga? Teliti senarai yang tinggal, adakah apa2 yang boleh di kurangkan? Astro? Bil telefon? Makan diluar? Perbelanjaan dapur? Yang ini kita kena kreatif. Kalau berbelanja senaraikan semua barang yang perlu dibeli beberapa hari sebelum berbelanja supaya kita dapat pertimbangkan semula tahap keperluannya, dan jangan bawa duit lebih.
Budget bulanan ni hendaklah dikemaskini setiap bulan.

Sebenarnya inilah teknik yang saya gunakan bertahun-tahun. Tak pernah rasa stress bila duit bulanan tak cukup. Duit dalam bank kurang RM10 pun saya boleh rilek aje sebab yang penting2 sudah diselesaikan. Pernah saya bercuti dari cara budget bulanan ni selama 2-3 bulan. Akibatnya, lingkup... Kena adjust perbelanjaan sampai time bonus.
Kalau dah diperah macam mana pun masih tak cukup juga, cubalah kaedah kedua.

Pesanan penting: Kalau tak cukup duit jangan sekali-kali guna kad kredit. Ingat, jangan guna kad kredit. Itulah ibu segala kanser kewangan.
2) Tambah pendapatan.
Ini perlu kreatif. Perlu fikir diluar kotak. Jangan harapkan overtime kerana sifatnya tak menentu. Ingat, jangan kerana mengharapkan overtime kita mula bekerja dengan perlahan supaya dapat selasaikan kerja dalam masa overtime. Itu tidak jujur. Bersihkah duit gaji yang kita dapat tu? Berkatkah rezeki yang kita suapkan ke mulut anak isteri? Antara cadangan saya:-

   - Kalau isteri tak bekerja. Isteri boleh tolong jaga anak2 jiran. Saya sarankan jaga kanak2 yang dah pergi tadika. Boleh juga buat rumah transit untuk anak yang dah bersekolah, sediakan makanan & apa2 keperluan sebelum ke sekolah petang.

   - Kepada sesiapa yang gemar memasak, tak kira lelaki / perempuan boleh buat katering masak lauk untuk mereka yang bekerja. Buat menu tetap ala-ala asrama. Customer balik masak nasi, dah boleh makan. Customer seronok jimat masa & belanja tak perlu makan diluar, katerer seronok dapat tolong kawan2 selain dapat rezeki lebih.

  - Buat business di kawasan sekitar tempat tinggal. Tak perlu skala besar. Dengan RM20 pun dah boleh mula jual kacang kuda rebus. Ini yang saya buat masa student, tahun 1975 dulu. Ceritanya begini, Saya kehilangan RM50 dan itulah sahaja duit yang saya ada. Menangis. Lepas tu saya pinjam RM10 dari kawan sebilik, pergi Klang beli kacang kuda. Balik asrama rebus, jual murah2 kepada rakan2 student. Tak sangka untung 100%+. Lepas langsai hutang beli lagi, jual lagi, beli lagi... Beberapa bulan aje dah untung beratus ringgit. Alhamdulillah.

   - Buat business on-line. Ini lebih bagus sebab pasaran tak terhad. Ramai klien yang saya urut buat business on-line dan mereka mampu beli rumah yang agak selesa. Tak tahu apa nak dijual? Boleh cuba produk baru dipasaran. Sila google facebook Magic Therapy by Aura Herbal.

  - Jana pendapatan melalui minat dan kebolehan anda, tak kira apa pun. Ini lagi seronok, tak stress, malahan satu terapi. Anda boleh ikut cara saya - mengurut. Tak semestinya sepenuh masa. Sebenarnya ramai yang ada bakat mengurut tapi takut salah urut atau malu kalau2 dipandang rendah. Yakinlah dengan niat yang betul anda juga mampu. Bagi saya? Alhamdulillah, melalui mengurut Allah kurniakan rezeki yang tak terduga, kesihatan diri pun meningkat. Sekiranya anda berminat (wanita sahaja) saya seronok berkongsi ilmu. Bayarannya? Sama saja dengan caj saya urut orang - RM50/jam. Itu hanyalah bayaran masa saya, bukannya ilmu yang dikongsi. Sekiranya anda datang bersedia dengan soalan lagi banyak manafaat yang anda dapat.

Sekian coretan saya untuk kali ini. Sekiranya anda suka tulisan2 di blog ni, silalah kongsi dengan kawan2.

Makcik Rokiah : 012-3159028 (Klang)

Wednesday, June 11, 2014

Rawatan yang paling berkesan

Sempana ulang tahun yang ke 63 makcik nak kongsi serba sedikit ilmu yang dikurniakan setelah 6 tahun pengalaman mengurut. Ilmu yang didapati dari membaca buku2, artikel dari internet, ilmu yang dikongsi orang, pemerhatian, serta maklumbalas dari orang yang diurut. Semoga para pembaca mendapat manafaat.
A) Punca utama otot tegang:
   (i) Kurang minum air.
         - saraf perlukan air untuk menghantar/menerima isyarat keseluruh badan.
         - kita dijadikan dari tanah liat. Untuk senang dibentuk tanah liat perlukan air yang secukupnya.
         - kekurangan air menyebabkan badan kurang menyah toksin.
   (ii) Stress - secara automatik saraf akan menegangkan otot dan mengganggu pengaliran darah dan sistem limfa.
   (iii) Banyak melakukan pergerakan - menyebabkan pengumpulan asid laktik.
   (iv) Sangat sedikit melakukan pergerakan - menyebabkan sistem limfa tidak dapat mengalir dengan lancar.
B) Punca utama angin dalam badan:
     Selain sistem pengaliran darah, limfa, dan saraf, badan kita juga ada sistem elektromagnetik (meridian lines). Ianya tiada dalam istilah medical sebab tak boleh dilihat dengan mata. Ianya boleh dilihat dalam bentuk aura. Perbandinganya, kita tak boleh lihat medan magnet tapi kalau kita tabur habuk2 besi dan letak besi berani kita akan dapat lihat garisan medan magnet terbentuk. Masalah angin dalam badan timbul bila meridian lines tersumbat.
   (i) Dari makanan / minuman. Penyebabnya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain, jadi setiap orang kena buat pemerhatian sendiri.
   (ii) Dari penyebab otot tegang. Pemerhatian semasa mengurut menunjukkan banyak hubungkait antara otot tegang dengan angin dalam badan. Angin juga banyak di tempat2 yang banyak kelenjar. Bila diurut dan angin keluar, otot terus jadi lembut dan klien rasa lega.
Dah tahu 2 punca utama ini carilah jalan untuk mengelak dari ianya terjadi, selain dari mendapat rawatan doktor dan berdoa bolehlah pilih cara berikut.
1) Lakukan regangan perlahan. Regangan yang menyakitkan itulah yang perlu dilakukan sebab kalau otot tak tegang kita tak rasa sakit.
2) Urut setakat sakit2 sedap. Kita urut untuk kendurkan otot, kalau terlebih kuat secara automatik saraf akan menegangkan otot. Jadi lebih baik pujuk otot cara lembut.
3) Sauna infrared. Gelombang infrared dapat masuk sampai 2-3cm ke dalam otot kita, memecah molekul air, dan menyebabkan kita berpeluh. Jantung berdegup lebih kencang, lebih banyak darah mengalir dan membersihkan sumbatan dalam saluran. 
4) Bekam.
      - Otot terasa tegang bila mana urat2 otot melekat sesama sendiri, menghindar darah yang membawa oxygen mengalir lancar, dan menyebabkan kita rasa sakit. Ianya sebanding dengan orang yang sakit bila kena serangan jantung sebab saluran darah kejantung tersumbat. Cara yang paling berkesan ialah berbekam. Janis2 bekam:
   (a) Bekam angin - berfungsi memecahkan otot2 yang melekat-lekat dan menarik lebih banyak darah ke daerah yang dibekam.
   (b) Bekam luncur - selain fungsi di atas dapat melembutkan sepanjang otot yang terlibat.
   © Bekam darah - mampu menyedut keluar sumbatan yang mengganggu pengaliran dalam badan. Bukan sahaja metabolic waste yang disedut, bahkan kalau ada gangguan makhluk halus pun dapat disedut keluar. Insya Allah.
Kesimpulan: Bekam darah adalah rawatan yang paling berkesan untuk sakit2 badan. Takut nak bekam darah? Yang sebenarnya tak sakit pun kalau dibandingkan dengan kesakitan berpanjangan yang di tanggung. Kalau kita ingat ini adalah sunnah Rasulallah saw. Insya Allah kita akan sembuh.
Untuk pengetahuan makcik urut wanita sahaja.

Sekiranya menghadapi masalah yang lebih teruk umpamanya stroke/saraf cubalah bertanya Pak Su Hamid 016-9876470. Beliau tinggal di Kampung Raja, Besut. Adik ipar makcik kena serangan stroke 4 kali dalam masa 10 tahun. Alhamdulillah cepat boleh berjalan semula. Beliau guna kaedah urutan, rawatan islam, dan balutan herba.
Sekiranya tulisan2 makcik dalam blog ni difikirkan boleh memberi manafaat kepada pembaca dan rakan2 silalah kongsi.
Makcik Rokiah 012-3159028 

Thursday, October 17, 2013

Masalah sakit pinggang, punggung, dan pinggul, serta angin dalam badan.

Tujuan asal menulis blog adalah untuk berkongsi ilmu yang ada berdasarkan pembacaan, pengalaman sendiri, dan pengalaman mengurut. 
Daripada 33 topik yang saya tulis setakat ini, 50% pelawat membaca 3 topik berikut:- 
1) Masalah sakit pinggang, punggung, dan pinggul.
2) Masalah sakit pinggang, punggung, dan pinggul - 2.
3) Misteri angin dalam badan

Sebenarnya masalah2 ini berkaitan. Menurut kajian saya, antara punca masalah ialah:-
- Kurang air dalam badan.
     Lebihkurang 80% dari mereka yang saya urut tidak minum air secukupnya. Air sangat penting untuk saraf berfungsi dengan elok. Air juga sangat diperlukan oleh otot supaya tidak kejang.
- Stress
     Bila stress saraf bertindak menegangkan otot2.
- Mengguna komputer tanpa henti dalam jangka masa yang lama
     Ini menyebabkan otot kepenatan dan menegang.
- Kurang aktiviti fisikal
     Ini menyebabkan sistem limfa tidak mengalir lancar. Sistem limfa umpama saluran kumbahan dari rumah ke pusat rawatan kumbahan (kelenjar). Kalau sistem peredaran darah mengalir dengan degupan jantung, sistem limfa mengalir dengan pergerakan otot. 
- Postur dan ketidak seimbangan otot2 badan
    Otot2 badan umpama jaringan pukat. Kalau mana2 bahagian pukat di tarik, bahagian lain akan turut tertarik.
- Masalah buang air besar
    Apabila air besar tidak di buang setiap hari, hasil makanan dalam usus menghasilkan gas dan ini boleh menyebabkan badan berangin.
- Masalah pemakanan sama ada gastrik atau tidak hadam
    Jaga waktu makan, kalau terasa lapar makanlah walau sesibuk mana pun. 2 keping biskut pun dah cukup untuk alas perut. Elakkan juga dari memakan makanan yang buatkan anda angin.
- Terdedah pada udara sejuk
    Sejuk memang selesa tapi kalau sistem pertahanan diri lemah ia boleh menyebabkan angin dalam badan.
 
Kenapa saya kata sakit badan dan angin dalam badan berkaitan? Saya tak tahu sama ada otot kejang sebabkan angin dalam badan, atau angin dalam badan sebabkan otot kejang. Yang pasti, bila saya urut dan angin keluar, kejang otot kurang/hilang, dan klien rasa lega.
Apa itu angin dalam badan? 
Saya pernah ditanya oleh seorang klien semasa beberapa minit sahaja mengurutnya. "Makcik, angin dalam badan tu apa, doktor kata mana ada angin dalam badan, tapi saya dapat rasa angin tu, bila dah keluar saya rasa lega"
Saya katakan padanya "Menurut medical memang tak ada angin tapi mengikut perubatan timur, angin tu stucked energy, atau blocked meridian line". Rupa2nya dia seorang doktor di hospital kerajaan.
Anda ingin merawat diri sendiri? 
1) Adakah masalahnya berpunca dari sebab2 diatas? Perbetulkan.
2) Anda ada tungku batu? Bertungkulah di semua tempat yang rasa tak selesa, tapi bukan sekadar sekali bakar tungku sahaja. Kalau badan saya di serang angin saya akan bertungku berjam-jam lamanya. Setiap kali batu dah hampir sejuk saya akan panaskan semula. Pernah saya bertungku dari 11 malam sampai 3 petang keesokan harinya. Nak sihat mestilah rajin berusaha.
3) Anda ada sesiapa yang boleh keluarkan angin? Minta tolong dia urut / gosok2 / belai2 sambil anda berdoa minta Allah pecah2kan angin dan pulihkan anda. Sambil tu anda bacalah ayat berikut (tapi bukan dalam hati tau) Juzuk 28, Surah Al-Hasyr, Ayat 21-24. Ayat2 ni ada dalam buku MANZIL. Terbukti sangat berkesan.
Sekiranya anda inginkan perkhidmatan saya, ada syarat-syaratnya:-
1. Pastikan masalah anda tiada kaitan dengan gangguan makhluk halus. Sekiranya anda suspect ada gangguan berjumpalah perawat Darul Syifa' atau mana2 perawat Islam yang boleh dipercayai, dan bukannya saya.
2. Anda bukan lelaki sebab saya urut perempuan sahaja.
3. Anda ikhlas ingin dapatkan rawatan saya, bukannya disuruh oleh sesiapa.
4. Pastikan anda minum sekurang-kurangnya 2 liter sehari, melainkan anda ada masalah kesihatan yang tidak membolehkan anda minum sebanyak itu. Ini bagi memastikan otot2 cepat lembut bila diurut. Biasanya kalau banyak masalah saya urut selama 2 jam. Caj urutan ialah RM50 sejam. Luangkan masa lebih kurang 2.5 jam untuk sesi consultation & rawatan sebab saya mahukan rawatan dalam keadaan tenang dan tak tergesa-gesa.
5. Urutan saya banyak mengikut gerak hati, cara urutan adalah khusus untuk anda pada masa itu, jadi saya sangat2 mengalukan maklumbalas anda sebelum & semasa mengurut. Lagi banyak maklumbalas yang anda beri, lagi banyaklah manafaat yang anda dapat.  Insya Allah.
6. Perlu buat temujanji sebab dalam sehari saya cuma urut 2 orang, sorang pagi & sorang petang. Sila beri tahu seberapa awal sekiranya tak dapat penuhi temujanji sebab mungkin ada insan lain yang memerlukan pertolongan pada waktu itu. Saya juga akan beri tahu anda sekiranya ada masalah. Kita merancang, Allah yang menentukan.
Makcik Rokiah 012-3159028 (Klang)

Saturday, June 22, 2013

Masalah tak ada susu atau susu kurang.

Biasa juga ibu2 baru bersalin minta diurut sebab tak ada susu atau susu kurang. Antara sebabnya:-
  - cara penyusuan yang salah, ibu hanya masukkan puting.
  - makanan yang diambil kurang merangsang pengeluaran susu.
  - saluran susu tersumbat.
  - masalah anak.
  - ibu sakit atau kurang rehat.
  - ibu terlampau stress. 
Saya paling kasihan bila ianya berpunca dari ibu terlampau stress sebab tak banyak yang dapat saya tolong. Siapa yang boleh tolong? Suami… Dialah yang dapat memberi pertolongan yang paling berkesan. Belajarlah untuk tolong insan yang tolong melahirkan zuriat anda. Para suami, tolonglah jangan cari cara mudah dengan menyerahkan tugas tersebut kepada ibu / ibu mertua anda. Tolong jangan bagi alasan "saya tak tahu nak... macam mana nak tolong" Ingat, isteri anda juga bermula dengan tak tahu...
Disini ingin saya kongsi satu artikel yang ditulis oleh Pusat Kaunseling, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Harap para suami baca.
TEKANAN DI KALANGAN WANITA SELEPAS BERSALIN
 
1. Pendahuluan
 
Kehadiran cahaya mata merupakan detik yang membahagiakan namun tidak ramai pasangan yang membicarakan tentang kesan tekanan emosi yang dihadapi oleh wanita khususnya selepas melahirkan anak terutama semasa dan selepas pantang. Malah banyak yang tidak mengetahui bahawa jangka masa berpantang adalah penting untuk menentukan sama ada ibu akan kembali normal seperti sebelumnya atau si ibu akan menderita akibat tekanan emosi seumur hidup.
 
2. Definisi Tekanan Selepas Bersalin.
 
Tekanan emosi yang diertikan oleh masyarakat terutamanya masyarakat melayu dengan nama "penyakit angin meroyan". Ia dikaitkan sebagai penyakit tekanan emosi bagi ibu-ibu yang mengalaminya sewaktu atau selepas dalam pantang.
 
Dalam istilah perubatan ia dikenali sebagai "postnatal depression" yang bersangkut paut dengan kelakuan aneh sebagai kesan emosi (kejiwaan) yang dihadapi oleh wanita selepas melahirkan anak.
 
3. Bentuk Tingkahlaku "postnatal depression"
 
Wanita yang mengalami masalah "postnatal depression" seringkali menghadapi masalah sukar untuk tidur dan sentiasa mengalami kepenatan. Mereka kerap merasa tegang, rendah diri dan mudah untuk merasa marah. Mereka bukan sahaja menjauhi hubungan seksual dengan suami malah membencinya. Malangnya kebanyakan wanita yang menghidap "postnatal depression" tidak menyedarinya sebagai satu penyakit. Begitu juga dengan suami dan ahli keluarga. Suami mungkin menganggap isteri berubah laku bukan kerana penyakit "postnatal depression" tetapi semulajadi. Keadaan akan menjadi semakin teruk apabila suami tidak memahami keadaan tekanan emosi isteri
 
Keadaan wanita ini juga akan menunjukkan perubahan yang mendadak seperti kemurungan, runsing dan kelihatan tidak bermaya. Sikap juga berubah dari periang boleh bertukar menjadi pendiam. Kebanyakannya seakan hilang sentuhan dengan dunia alam realiti.
 
4. Faktor yang membawa kepada tekanan emosi "postnatal depression"
 
Sebenarnya terdapat banyak faktor psikologi yang boleh membawa kepada "postnatal depression" ini berlaku. Tidak dinafikan, kelahiran adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Tetapi tidak semuanya begitu. Berkemungkinan anak yang dilahirkan adalah anak yang tidak dikehendaki.
 
Tekanan ketika bersalin ditambah pula dengan rasa tertekan perasaan apabila mengenangkan anak yang dilahirkan. Apatah lagi wanita yang bersalin berkemungkinan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya sendiri atau mertuanya. Ini akan menambahkan rasa tekanan emosinya.
 
Kesakitan melahirkan anak diharap dapat difahami bersama oleh suami. Tetapi sebaliknya suami menganggap isteri telah biasa dengan kelahiran. Selepas kelahiran, ibu terpaksa berjaga malam menyusukan bayi dan menukar lampinnya yang basah. Ini membuatkan isteri tidak dapat menikmati masa rehat yang cukup. Baginya tiada kegembiraan dalam menimang cahaya mata sebaliknya merasakan ia sebagai kerja yang membosankan.
 
Tekanan emosi dan perasaan isteri akan lebih tertekan apabila suami tidak cuba memahami kepayahan dan kesakitan isteri. Setiap kali pulang kerja mengharapkan makanan terhidang, rumah bersepah isteri dimarah, sedangkan makan minum isteri ketika berpantang tidak pernah dihiraukan. Kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian harus dilakukan oleh suami jika tiada pembantu. Apabila keadaan tekanan ini tidak terbendung, rasa kecewa diluahkan dengan keadaan kemurungan dan menjadi pendiam. Yang lebih teruk sehingga menyebabkan isteri menjerit dan menangis seorang diri.
 
 
 
5. Sokongan emosi orang terdekat paling berkesan
 
Tidak banyak kajian yang dilakukan ke atas punca-punca berlaku kesugulan di kalangan ibu selepas melahirkan anak. Walaupun ada kajian yang menyatakan perubahan hormon merupakan punca berlakunya"postnatal depression" namun ia hanyalah faktor kecil disamping beberapa faktor penyebab yang lain. Seseorang wanita yang sering berasa kecewa, sentiasa muram dan bimbang juga menjadi punca berlakunya "postnatal depression".
 
Begitu juga bagi wanita yang belum bersedia menimang cahaya mata tetapi terpaksa menghadapinya juga cenderung mengalami masalah tersebut. Waktu dalam pantang, ibu mudah rasa tertekan kerana kehadiran bayi memerlukan ibu berjaga malam. Ada kalanya keletihan menjadikan ibu mudah tertekan. Oleh itu amat penting bagi bakal ibu mendapat sokongan moral dan emosi yang kuat daripada seseorang khususnya orang terdekat seperti suami terutamanya pada saat-saat menimang cahaya mata dan selepas melahirkannya.
 
Ini adalah kerana sokongan dan bantuan suami merupakan penawar yang paling mujarab ke arah kestabilan emosi isteri. Kajian yang dilakukan di negara-negara barat mendapati bahawa kaunseling merupakan ubat paling berkesan bagi merawat ibu yang mengalami "postnatal depression". Di Britain contohnya kaunseling biasanya dilakukan oleh kaunselor atau individu yang memberikan perkhidmatan menolong datang ke rumah pesakit. Sekaligus suami turut memberi bantuan sebagai kaunselor yang memberi sokongan emosi untuk menenangkan perasaan dan emosi isteri.
 
Harus difahami bahawa, wanita yang mengalami "postnatal depression" biasanya disebabkan oleh rasa kecewa kerana menyedari keadaan selepas menjadi ibu tidak seperti yang diharapkan. Sebelum kelahiran bayi mereka membayangkan bahawa kehidupan selepas mempunyai anak tentunya lebih indah kerana dikelilingi oleh bayi yang comel dan sihat.
 
Malangnya apabila mereka mengalami sendiri dalam dunia realiti, keadaannya berbeza. Apa yang dibayangkan dalam fikiran mereka menjadi sebaliknya. Mereka tidak melaluinya dengan mudah. Ini merupakan satu kejutan yang mengganggu emosi dan fikiran wanita tersebut. Maka bagi mereka yang gagal mengawal emosi ketegangan ini mudah mengalami "postnatal depression".
 
Bagi bakal ibu, persediaan paling penting sebelum menimang cahaya mata adalah persediaan emosi dan mental yang kuat. Selain daripada pengetahuan mengenai perawatan bayi, bakal ibu juga perlu tahu mengenai kesihatan diri sebelum dan selepas bersalin disamping bersedia untuk menerima kemungkinan buruk selepas bersalin. Meletakkan harapan yang tinggi tanpa persediaan jiwa dan rohani yang mantap akan hanya membawa kekecewaan yang memungkinkan anda mengalami "postnatal depression".
 
6. Pendekatan kaunseling sebagai satu altenatif
 
Secara teoritikalnya kita rujuk kepada pendapat teori yang terdapat dalam Terapi Rasional Emotif yang dipelopori oleh Albert Ellis memberi andaian tentang sifat semulajadi manusia iaitu manusia dilahirkan dengan satu potensi untuk berfikir secara rasional dan tidak rasional. Di samping manusia berkecenderungan untuk memelihara dirinya, mencapai kebahagiaan, berfikir dan menyampaikan buah fikirannya, ingin dikasihi dan mengasihi serta berkomunikasi dengan orang lain untuk berkembang maju ke arah nirwana kendirinya sendiri.
 
Sebagai suatu kaedah yang dianggap berkesan dalam mengatasi masalah tekanan semasa dalam pantang selepas melahirkan anak ialah melalui metoda psikoterapi dan kaunseling. Wanita-wanita dan suami yang bakal menimang cahaya mata disarankan supaya:
 
6.i Mempunyai persediaan yang cukup dari segi mental, fizikal dan material dalam menghadapi sebelum dan selepas kelahiran cahaya mata.
 
6.ii Bertemu doktor dan pegawai perubatan untuk mendapatkan nasihat bagi membuat persediaan yang berpatutan untuk menghadapi saat-saat kelahiran.
 
6.iii Datang berjumpa kaunselor untuk mengadakan sesi kaunseling perkahwinan bagi membincangkan aspek-aspek persediaan emosi dan kedua-dua pasangan yang akan menimang cahaya mata.
 
6.iv Menimba ilmu kemahiran menghadapi sebelum dan selepas kelahiran anak. Ini supaya kedua-dua pasangan tidak merasa janggal apabila berlakunya situasi tersebut.
 
Secara kesimpulannya dapat dikatakan bahawa keseimbangan emosi dan mental wanita yang melahirkan anak samada sebelum dan selepas pantang amatlah perlu diberikan perhatian. Bukan wanita itu sahaja bahkan perlu juga sokongan kefahaman dan pertolongan di pihak suami dan keluarga. Wanita yang melahirkan anak amat sensitif dan mudah tersinggung kerana perhatian dan bantuan amat di perlukan ketika itu.
 
Seseorang wanita yang mengalami tekanan postnatal depression ini boleh dipulihkan melalui sesi kaunseling dengan ahli-ahli keluarga terdekat seperti suami, ibu, kakak atau adik beradik yang lain haruslah bekerjasama dalam mengembalikan keriangan di dalam jiwanya. Pujuk dan bimbing supaya dia mendekatkan diri kepada Allah agar tidak berputus asa walaupun diberikan dugaan sedemikian rupa.
 
Dari sudut terapi kerohaniannya seseorang wanita yang menghadapi tekanan adalah disarankan supaya menenangkan diri dengan menanamkan rasa sabar, yakin dan tawaakkal di atas taqdir-Nya di samping menerima realiti yang berlaku. Cara yang terbaik untuk mengurangkan tekanan perasaan ialah memohon kepada Allah SWT supaya menenangkan fikiran dan perasaan resah gelisah menerusi solat dan doa. InsyaAllah dengan kekuatan ini wanita tersebut akan dapat merasa lega dan selaras antara kognitif, afektif dan tingkahlakunya.
 
7. Penutup
 
Masalah tekanan emosi dan mental seperti yang di alami oleh golongan wanita yang dikenali sebagai"postnatal depression" adalah merupakan suatu bentuk penyakit yang berlaku kepada wanita yang melahirkan anak. Jika tekanan ini dibiarkan berlarutan berkemungkinan ia akan menambahkan lagi kekusutan fikiran bahkan boleh menjadi tidak siuman.
 
Oleh yang demikian, tekanan seperti ini boleh di atasi dengan menggunakan kaedah kaunseling dan terapi yang dilakukan oleh suami atau individu yang ada kaitan dengan wanita tersebut. Namun apa yang lebih perlu ialah perhatian, kasih sayang dan juga bantuan kepada wanita yang melahirkan cahaya mata tersebut secara berterusan sehingga mengalami tahap kesihatan seperti sedia kala.