Friday, October 28, 2011

Tulang Belakang Sihat Menjadikan Badan Lebih Sihat

Tulang belakang membolehkan anda berpusing, membongkok, dan menegak. Ia juga melindungi saraf tunjang, kumpulan saraf utama yang menghantar maklumat dari otak ke seluruh badan anda.
 
Ada 26 tulang yang dipanggil vertebra terdiri daripada:-
- 7 tulang servikal di belakang leher untuk menyokong kepala.
- 12 tulang toraksik memegang tulang rusuk.
- 5 tulang lumbar di bahagian pinggang.
- sakrum yang merupakan 5 tulang yang sudah bercantum menjadi satu.
- koksiks yang merupakan 4 tulang yang sudah bercantum menjadi satu.
(secara umumnya semasa lahir bayi mempunyai sekitar 270 tulang, sebahagian kemudiannya bercantum menjadikan orang dewasa mempunyai sekitar 206 tulang).

Saya sudah katakan otot teras yang kuat sangat mustahak. Sekiranya otot teras lemah, tulang belakang menjadi lemah, postur kurang bagus, dan kesihatan terganggu. Postur kurang bagus boleh menyebabkan anda bongkok, badan lemah, sakit berpanjangan, dan ketidakmampuan untuk melakukan sesetengah pergerakan.(saya suka bayangkan tulang belakang sebagai satu-satunya lebuhraya yang ada. Apa saja yang berlaku di lebuhraya ini akan menyebabkan aliran trafik terganggu!)


Bila bercakap pasal otot teras ramai orang akan terfikirkan tentang otot abdomen yang kuat dan cantik. Sebenarnya otot teras terdiri dari kumpulan otot yang membentuk bahagian tengah badan sehingga punggung (umpama korset). Kumpulan otot inilah yang berfungsi menstabilkan dan menguatkan pergerakan.  


Saya telah terangkan kaitan antara otot teras yang baik dangan tulang belakang yang bagus. Antara tip menguatkan tulang belakang:- 
- bersenam 
- lakukan regangan 
- lakukan pergerakan, jangan duduk di tempat sama dalam jangka masa yang lama 
- minum air secukupnya bagi mengekalkan kelembapan cakera antara vertebra 
- kurangkan berat badan supaya beban keatas tulang belakang berkurangan 


Senaman yang paling bagus untuk menguatkan otot teras dan tulang belakang ialah Pilates. Senaman ini dapat meregangkan dan juga menguatkan otot. Ia adalah sejenis senaman pemulihan dan menjadikan pergerakan anda lebih dinamik.  

Thursday, October 27, 2011

Kesan kecederaan

Kesakitan otot yang berpanjangan boleh bermula dengan kecederaan kecil kepada otot, tendon dan fascia yang membalutnya, yang disebabkan oleh kecederaan atau penggunaan terlampau. Kalau tidak dirawat dengan segera ia boleh mewujudkan kitaran kesakitan yang menjadikannya lebih teruk. 

Secara amnya lingkaran kesakitan ini seperti berikut:- 
   Kesakitan & disfungsi ---> tekanan (stres) ---> ketegangan (tension) ---> otot menegang ---> aliran darah terjejas ---> sisa metabolik (toksin) berkumpul ---> kesakitan & disfungsi menjadi lebih teruk ---> tekanan bertambah ---> ketegangan otot meningkat ---> pengaliran darah makin berkurang ---> toksin makin banyak ---> dan seterusnya.... 
   Keluasan kawasan yang sakit juga makin merebak. Semakin lama otot jadi sangat tegang, saraf terhimpit, anda tidak dapat merasa sakit lagi. Sangkaan anda, kalau dibiarkan baiklah sendiri. Buktinya sakitnya dah hilang.

Malang sekali sebab sangkaan anda meleset. Contohnya, kecederaan bermula di pinggang tepi tulang belakang. Kecederaan yang bermula sedikit akan merebak hingga ke sisi pinggul, kemudian kelutut, akhirnya anda berjalan seperti robot - kiri, kanan, kiri, kanan... Kita biasa tengok perempuan tua jalan macam ni kan? Tapi orang lelaki jarang jalan macam robot.... Sebabnya orang lelaki tak tahan sakit, sakit sikit aje terus pergi urut. Orang perempuan banyak berkorban, banyak yang hendak difikirkan, dan sentiasa sibuk, banyak duduk, bangun, berjalan, yang menyebabkan otot sekitar tulang belakang menegang. Bila otot tegang, tulang rangka boleh tertarik, alignment out!!! 

Hey... alignment kereta kita betulkan, alignment sendiri tak nak betulkan ker? Kereta ada spare part & boleh ditukar ganti. Badan kita ada spare part ker? 

Nasihat saya rawatlah sebelum merebak, ianya lebih senang dan menjimatkan.  

Tuesday, October 25, 2011

Jagalah postur anda

Kali ni saya tak nak tulis panjang. Saya hanya ingin mengajak anda semua menjaga postur (ada masanya saya pun lupa juga...) sebabnya postur baik dapat menjamin kesihatan yang lebih baik.

Apakah yang dimaksudkan dengan postur yang baik?
Postur kedudukan dimana anda memegang badan anda tegak melawan graviti semasa berdiri, berjalan, duduk atau berbaring. Postur yang baik melibatkan latihan badan yang meletakkannya dalam kedudukan yang paling kurang memberi tekanan kepada otot dan ligamen yang menyokong aktiviti semasa pergerakan atau menanggung berat badan.


Antara kesan postur yang baik:- 
- Mengelakkan keletihan kerana otot sedang digunakan dengan lebih cekap, membolehkan tubuh mengguna tenaga yang kurang.
- Mencegah sakit belakang dan sakit otot.
- Menyumbang kepada penampilan baik.

Melalui pengalaman mengurut saya dapati banyak masaalah yang dihadapi oleh klien disebabkan postur yang kurang baik. Saya akan urut otot-otot yang menegang agar postur akan kembali kepada keadaan yang sepatutnya.

Antara penyumbang utama masalah postur kurang baik dan sakit pinggang dan belakang (ini pun melalui pemerhatian):-
- berjalan menunduk
- berdiri dengan berat badan tidak diseimbangkan antara kanan dan kiri
- berdiri dengan lutut tidak dibengkokkan sedikit (akibatnya kepala akan kehadapan)
- duduk membongkok dihadapan komputer
- otot teras yang lemah. Insya Allah dimasa hadapan saya tulis tentang mustahaknya otot teras yang kuat.

Sebagai renungan bersama saya sertakan petikan dari salah satu blog yang saya baca:
   
        Membiasakan Yang Betul dan membetulkan yang Biasa...
        Untuk( Berubah)- membuang suatu kebiasaan yang negatif - kita mulai dengan mengubah factor-faktor pendorong dan kecenderungan yang mengarah kepada kebiasaan negatif itu. Lalu secara perlahan-lahan kita mulai meninggalkan kebiasaan tersebut. Perkara yang penting untuk mengubah kebiasaan yang negatif memerlukan keyakinan kita tentang kesan negatif dari kebiasaan tersebut dan keinginan untuk mengubahnya.