Saturday, June 22, 2013

Masalah tak ada susu atau susu kurang.

Biasa juga ibu2 baru bersalin minta diurut sebab tak ada susu atau susu kurang. Antara sebabnya:-
  - cara penyusuan yang salah, ibu hanya masukkan puting.
  - makanan yang diambil kurang merangsang pengeluaran susu.
  - saluran susu tersumbat.
  - masalah anak.
  - ibu sakit atau kurang rehat.
  - ibu terlampau stress. 
Saya paling kasihan bila ianya berpunca dari ibu terlampau stress sebab tak banyak yang dapat saya tolong. Siapa yang boleh tolong? Suami… Dialah yang dapat memberi pertolongan yang paling berkesan. Belajarlah untuk tolong insan yang tolong melahirkan zuriat anda. Para suami, tolonglah jangan cari cara mudah dengan menyerahkan tugas tersebut kepada ibu / ibu mertua anda. Tolong jangan bagi alasan "saya tak tahu nak... macam mana nak tolong" Ingat, isteri anda juga bermula dengan tak tahu...
Disini ingin saya kongsi satu artikel yang ditulis oleh Pusat Kaunseling, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Harap para suami baca.
TEKANAN DI KALANGAN WANITA SELEPAS BERSALIN
 
1. Pendahuluan
 
Kehadiran cahaya mata merupakan detik yang membahagiakan namun tidak ramai pasangan yang membicarakan tentang kesan tekanan emosi yang dihadapi oleh wanita khususnya selepas melahirkan anak terutama semasa dan selepas pantang. Malah banyak yang tidak mengetahui bahawa jangka masa berpantang adalah penting untuk menentukan sama ada ibu akan kembali normal seperti sebelumnya atau si ibu akan menderita akibat tekanan emosi seumur hidup.
 
2. Definisi Tekanan Selepas Bersalin.
 
Tekanan emosi yang diertikan oleh masyarakat terutamanya masyarakat melayu dengan nama "penyakit angin meroyan". Ia dikaitkan sebagai penyakit tekanan emosi bagi ibu-ibu yang mengalaminya sewaktu atau selepas dalam pantang.
 
Dalam istilah perubatan ia dikenali sebagai "postnatal depression" yang bersangkut paut dengan kelakuan aneh sebagai kesan emosi (kejiwaan) yang dihadapi oleh wanita selepas melahirkan anak.
 
3. Bentuk Tingkahlaku "postnatal depression"
 
Wanita yang mengalami masalah "postnatal depression" seringkali menghadapi masalah sukar untuk tidur dan sentiasa mengalami kepenatan. Mereka kerap merasa tegang, rendah diri dan mudah untuk merasa marah. Mereka bukan sahaja menjauhi hubungan seksual dengan suami malah membencinya. Malangnya kebanyakan wanita yang menghidap "postnatal depression" tidak menyedarinya sebagai satu penyakit. Begitu juga dengan suami dan ahli keluarga. Suami mungkin menganggap isteri berubah laku bukan kerana penyakit "postnatal depression" tetapi semulajadi. Keadaan akan menjadi semakin teruk apabila suami tidak memahami keadaan tekanan emosi isteri
 
Keadaan wanita ini juga akan menunjukkan perubahan yang mendadak seperti kemurungan, runsing dan kelihatan tidak bermaya. Sikap juga berubah dari periang boleh bertukar menjadi pendiam. Kebanyakannya seakan hilang sentuhan dengan dunia alam realiti.
 
4. Faktor yang membawa kepada tekanan emosi "postnatal depression"
 
Sebenarnya terdapat banyak faktor psikologi yang boleh membawa kepada "postnatal depression" ini berlaku. Tidak dinafikan, kelahiran adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Tetapi tidak semuanya begitu. Berkemungkinan anak yang dilahirkan adalah anak yang tidak dikehendaki.
 
Tekanan ketika bersalin ditambah pula dengan rasa tertekan perasaan apabila mengenangkan anak yang dilahirkan. Apatah lagi wanita yang bersalin berkemungkinan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya sendiri atau mertuanya. Ini akan menambahkan rasa tekanan emosinya.
 
Kesakitan melahirkan anak diharap dapat difahami bersama oleh suami. Tetapi sebaliknya suami menganggap isteri telah biasa dengan kelahiran. Selepas kelahiran, ibu terpaksa berjaga malam menyusukan bayi dan menukar lampinnya yang basah. Ini membuatkan isteri tidak dapat menikmati masa rehat yang cukup. Baginya tiada kegembiraan dalam menimang cahaya mata sebaliknya merasakan ia sebagai kerja yang membosankan.
 
Tekanan emosi dan perasaan isteri akan lebih tertekan apabila suami tidak cuba memahami kepayahan dan kesakitan isteri. Setiap kali pulang kerja mengharapkan makanan terhidang, rumah bersepah isteri dimarah, sedangkan makan minum isteri ketika berpantang tidak pernah dihiraukan. Kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian harus dilakukan oleh suami jika tiada pembantu. Apabila keadaan tekanan ini tidak terbendung, rasa kecewa diluahkan dengan keadaan kemurungan dan menjadi pendiam. Yang lebih teruk sehingga menyebabkan isteri menjerit dan menangis seorang diri.
 
 
 
5. Sokongan emosi orang terdekat paling berkesan
 
Tidak banyak kajian yang dilakukan ke atas punca-punca berlaku kesugulan di kalangan ibu selepas melahirkan anak. Walaupun ada kajian yang menyatakan perubahan hormon merupakan punca berlakunya"postnatal depression" namun ia hanyalah faktor kecil disamping beberapa faktor penyebab yang lain. Seseorang wanita yang sering berasa kecewa, sentiasa muram dan bimbang juga menjadi punca berlakunya "postnatal depression".
 
Begitu juga bagi wanita yang belum bersedia menimang cahaya mata tetapi terpaksa menghadapinya juga cenderung mengalami masalah tersebut. Waktu dalam pantang, ibu mudah rasa tertekan kerana kehadiran bayi memerlukan ibu berjaga malam. Ada kalanya keletihan menjadikan ibu mudah tertekan. Oleh itu amat penting bagi bakal ibu mendapat sokongan moral dan emosi yang kuat daripada seseorang khususnya orang terdekat seperti suami terutamanya pada saat-saat menimang cahaya mata dan selepas melahirkannya.
 
Ini adalah kerana sokongan dan bantuan suami merupakan penawar yang paling mujarab ke arah kestabilan emosi isteri. Kajian yang dilakukan di negara-negara barat mendapati bahawa kaunseling merupakan ubat paling berkesan bagi merawat ibu yang mengalami "postnatal depression". Di Britain contohnya kaunseling biasanya dilakukan oleh kaunselor atau individu yang memberikan perkhidmatan menolong datang ke rumah pesakit. Sekaligus suami turut memberi bantuan sebagai kaunselor yang memberi sokongan emosi untuk menenangkan perasaan dan emosi isteri.
 
Harus difahami bahawa, wanita yang mengalami "postnatal depression" biasanya disebabkan oleh rasa kecewa kerana menyedari keadaan selepas menjadi ibu tidak seperti yang diharapkan. Sebelum kelahiran bayi mereka membayangkan bahawa kehidupan selepas mempunyai anak tentunya lebih indah kerana dikelilingi oleh bayi yang comel dan sihat.
 
Malangnya apabila mereka mengalami sendiri dalam dunia realiti, keadaannya berbeza. Apa yang dibayangkan dalam fikiran mereka menjadi sebaliknya. Mereka tidak melaluinya dengan mudah. Ini merupakan satu kejutan yang mengganggu emosi dan fikiran wanita tersebut. Maka bagi mereka yang gagal mengawal emosi ketegangan ini mudah mengalami "postnatal depression".
 
Bagi bakal ibu, persediaan paling penting sebelum menimang cahaya mata adalah persediaan emosi dan mental yang kuat. Selain daripada pengetahuan mengenai perawatan bayi, bakal ibu juga perlu tahu mengenai kesihatan diri sebelum dan selepas bersalin disamping bersedia untuk menerima kemungkinan buruk selepas bersalin. Meletakkan harapan yang tinggi tanpa persediaan jiwa dan rohani yang mantap akan hanya membawa kekecewaan yang memungkinkan anda mengalami "postnatal depression".
 
6. Pendekatan kaunseling sebagai satu altenatif
 
Secara teoritikalnya kita rujuk kepada pendapat teori yang terdapat dalam Terapi Rasional Emotif yang dipelopori oleh Albert Ellis memberi andaian tentang sifat semulajadi manusia iaitu manusia dilahirkan dengan satu potensi untuk berfikir secara rasional dan tidak rasional. Di samping manusia berkecenderungan untuk memelihara dirinya, mencapai kebahagiaan, berfikir dan menyampaikan buah fikirannya, ingin dikasihi dan mengasihi serta berkomunikasi dengan orang lain untuk berkembang maju ke arah nirwana kendirinya sendiri.
 
Sebagai suatu kaedah yang dianggap berkesan dalam mengatasi masalah tekanan semasa dalam pantang selepas melahirkan anak ialah melalui metoda psikoterapi dan kaunseling. Wanita-wanita dan suami yang bakal menimang cahaya mata disarankan supaya:
 
6.i Mempunyai persediaan yang cukup dari segi mental, fizikal dan material dalam menghadapi sebelum dan selepas kelahiran cahaya mata.
 
6.ii Bertemu doktor dan pegawai perubatan untuk mendapatkan nasihat bagi membuat persediaan yang berpatutan untuk menghadapi saat-saat kelahiran.
 
6.iii Datang berjumpa kaunselor untuk mengadakan sesi kaunseling perkahwinan bagi membincangkan aspek-aspek persediaan emosi dan kedua-dua pasangan yang akan menimang cahaya mata.
 
6.iv Menimba ilmu kemahiran menghadapi sebelum dan selepas kelahiran anak. Ini supaya kedua-dua pasangan tidak merasa janggal apabila berlakunya situasi tersebut.
 
Secara kesimpulannya dapat dikatakan bahawa keseimbangan emosi dan mental wanita yang melahirkan anak samada sebelum dan selepas pantang amatlah perlu diberikan perhatian. Bukan wanita itu sahaja bahkan perlu juga sokongan kefahaman dan pertolongan di pihak suami dan keluarga. Wanita yang melahirkan anak amat sensitif dan mudah tersinggung kerana perhatian dan bantuan amat di perlukan ketika itu.
 
Seseorang wanita yang mengalami tekanan postnatal depression ini boleh dipulihkan melalui sesi kaunseling dengan ahli-ahli keluarga terdekat seperti suami, ibu, kakak atau adik beradik yang lain haruslah bekerjasama dalam mengembalikan keriangan di dalam jiwanya. Pujuk dan bimbing supaya dia mendekatkan diri kepada Allah agar tidak berputus asa walaupun diberikan dugaan sedemikian rupa.
 
Dari sudut terapi kerohaniannya seseorang wanita yang menghadapi tekanan adalah disarankan supaya menenangkan diri dengan menanamkan rasa sabar, yakin dan tawaakkal di atas taqdir-Nya di samping menerima realiti yang berlaku. Cara yang terbaik untuk mengurangkan tekanan perasaan ialah memohon kepada Allah SWT supaya menenangkan fikiran dan perasaan resah gelisah menerusi solat dan doa. InsyaAllah dengan kekuatan ini wanita tersebut akan dapat merasa lega dan selaras antara kognitif, afektif dan tingkahlakunya.
 
7. Penutup
 
Masalah tekanan emosi dan mental seperti yang di alami oleh golongan wanita yang dikenali sebagai"postnatal depression" adalah merupakan suatu bentuk penyakit yang berlaku kepada wanita yang melahirkan anak. Jika tekanan ini dibiarkan berlarutan berkemungkinan ia akan menambahkan lagi kekusutan fikiran bahkan boleh menjadi tidak siuman.
 
Oleh yang demikian, tekanan seperti ini boleh di atasi dengan menggunakan kaedah kaunseling dan terapi yang dilakukan oleh suami atau individu yang ada kaitan dengan wanita tersebut. Namun apa yang lebih perlu ialah perhatian, kasih sayang dan juga bantuan kepada wanita yang melahirkan cahaya mata tersebut secara berterusan sehingga mengalami tahap kesihatan seperti sedia kala.

Wednesday, June 12, 2013

Alhamdulillah, 62 tahun & sihat.

Hari ni saya tak nak tulis berkenaan kesihatan tapi tentang sejarah hidup. Sekiranya anda rasa ada sesuatu yang bermanafaat ambillah sebagai tauladan, dan sekiranya ada yang kurang elok tu jadilah pengajaran.

Saya dilahirkan pada 12 Jun 1951, di Kampung Raja, Besut. Memori terawal ialah hari kelahiran adik pada 1 April 1954, maknanya saya baru berusia 2 tahun, 9 bulan. Masih ingat masa tu saya pakai baju gaun putih & kain tabir tempat mak bersalin warna merah berbunga. Yelah, masa tu semua orang bersalin di rumah. Mak breastfeed semua anak2 tapi ada satu botol susu kaca di rumah, mungkin digunakan abang saya sebab saya dah tak sabar nak tenguk dunia ni, jarak usia abang dan saya cuma 11.5 bulan.

Kenangan masa kecil sangat menyeronokkan. Saya anak yang paling lasak (macam tomboy). Apa permainan abang main dengan kawan2 lelaki saya nak ikut. Ni yang buat abang saya menyampah, tapi saya tak peduli. Cuma lastik burung saja yang saya tak ikut serta.

Rumah dekat dengan sekolah. Dulu tak ada tadika. Bila saya dah tak sabar nak bersekolah, ayah tumpangkan saya di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja. Belajar pun seronok, pelajar tak ramai. Murid darjah 1 tak ada buku tulis, hanya perlu bawa 1 papan batu & satu pensil batu (ada tak benda ni kat musium?). Setiap apa yang cikgu ajar kami tulis di papan batu. Bila cikgu ajar subjet lain, kami padam apa yang dah ditulis dengan kain basah (kalau tak silap la..) dan tulis pula pelajaran lain. Kami hanya dibekalkan dengan 2 buah buku teks, buku bacaan jawi dan bacaan rumi. Hanya 3 subjet diajar, menulis, membaca (jawi & rumi) dan mengira serta congak (mental arithmetic lah tu...). Saya suka kaedah pengajaran zaman dulu sebab ia menekankan kepada asas 3M. Dengan menggunakan papan batu kita kena tumpu kepada apa yang cikgu ajar sebab dah tak ada peluang untuk ulangkaji kerana apa yang diajar terpaksa dipadamkan.

Semasa darjah 1 nama saya tiada dalam senarai murid sekolah sebab saya hanya menumpang. Ada 3 orang murid yang menumpang darjah 1 pada masa tu. Yang lucunya bila ujian akhir tahun no 1, 2, & 3 adalah milik 3 murid yang menumpang ni. Jadi kami layak naik ke darjah 2. Jadi dalam darjah 2 baru nama saya ada dalam senarai murid.

Suatu hari masa darjah 1 cikgu suruh semua murid beratur di padang Kg Raja. Cikgu sematkan lencana bulat ada gambar bendera. Saya ingat sebab jarumnya tercucuk dada saya. Semua murid dapat 1 lencana. Rupa-rupanya itulah hari Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Ya... 31 ogos 1957. Selepas tu suasana kemerdekaan menceriakan suasana. Ada sorang jiran tu, setiap petang bila dia balik dari pejabat dengan mengayuh basikal, setiap kanak2 yang jerit Merdeka!!! dengan tangan diangkat ke atas seperti Bapa Kemerdekaan, akan diberi 10 sen. Banyak tu... Bayangkanlah waktu tu duit 1/2 sen pun masih ada.

Satu lagi yang saya masih ingat, mak akan simpan semua pakaian kami yang dah tak boleh dipakai, tak dibagi orang lain. Bila anak2 kata buat apa simpan, menyemak aje. Mak kata "anak2 tak tahu macam mana susahnya masa jepun (perang dunia ke2). Orang ambil guni gandum, gunting buat baju"

Sekolah Inggeris pertama di Besut dibuka pada 1954. Murid yang masuk terus ke sekolah Inggeris dalam std 1 dikenakan yuran sekolah. Adik beradik saya semuanya masuk darjah 1 sekolah Melayu sebab percuma. Murid sekolah Melayu berumur 10 tahun boleh duduki peperiksaan Special Malay Test. Kalau lulus boleh bertukar ke sekolah Inggeris dengan dikecualikan yuran sekolah. Masuk Special Malay Class (SMC1 = std 4), (SMC2 = std 5), seterusnya std 6 bersama-sama dengan murid yang masuk dari std 1. Disebabkan saya bersekolah awal, semasa darjah 5 barulah saya dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut, dan lulus. Maka bertukarlah saya ke Tengku Mahmood School.

Special Malay Test yang saya duduki pada tahun 1961 adalah yang terakhir. Lepas tu sesiapa yang nak bertukar ke sekolah Inggeris mesti duduki peperiksaan penilaian darjah 6. Kalau lulus masuklah ke kelas peralihan selama setahun dan seterusnya ke form 1. Kalau gagal, bye, bye... berhenti sekolah atau ulang darjah 6.

Semasa std 6 pada tahun 1964, Penilaian Darjah 6 dimansuhkan, semua murid boleh teruskan persekolahan ke tingkatan 1, tapi murid dari sekolah Melayu dah tak bertukar ke sekolah Inggeris, murid dari sekolah Cina boleh masuk kelas peralihan selama setahun sebelum ke form 1. Saya tak pasti samada ini undang2 atau pilihan sendiri.

Tahun 1967 saya duduki Lower Certificate of Education (LCE). PMR lah tu… Itulah kali pertama peniliaian tingkatan 3 diadakan secara objectif, sebelumnya subjaktif. Tiba2 pensil 2B jadi popular dan dijual dengan harga 80 sen sebatang. Sebelum tu orang pakai pensil keras yang murah tu.

Dari darjah 1 subjet yang paling saya suka ialah matematik. Kenapa? Sebab saya tak perlu menghafal, Cuma fikir & faham. Bab menghafal ni memang kelemahan saya. Satu lagi, saya suka membaca, lucunya saya tak suka baca buku cerita, tapi buku yang berkaitan dengan pelajaran. Sampai sekarang saya tak pernah baca novel.

Dapat keputusan LCE cikgu bagitau di sekolah saya tak ada kelas sains tulin untuk form 4 & 5. Saya nak elak dari terpaksa ambil subjet History & English Literature. Pilihan saya adalah Maths, Additional Maths, Physics, Biology, Chemistry, Geogrophy, Malay & English.
Kebetulan abang saya bertukar ke Melaka, saya pun ikutlah dia kesana. Rupa-rupanya di Melaka pada masa itu hanya ada 1 sekolah perempuan yang ada form 4 & 5 sains tulin. Maka belajarlah saya di Methodist Girls School selama 2 tahun. Tahun 1969 adalah tahun terakhir murid form 5 duduki satu peperiksaan tapi dapat 2 sijil - MCE (Malaysia Certificate of Education) dan GCE (General Certificate of Education) dari UK.

Entah macam mana tuah badan, untuk form 6 saya ditawarkan tempat di sekolah berasrama penuh perempuan yang paling elite. 1970 adalah permulaan seluruh sekolah di Malaysia mengamalkan penggunaan pakaian seragam yang sama. Sebelum tu setiap kali bertukar sekolah saya pakai uniform yang berlainan. Dapat keputusan HSC saya ikut kawan2 masuk universiti, masa tu cuma ada 3 universiti - UM, UKM, & USM. IPT lain belum capai taraf universiti. Plan asalnya nak jadi cikgu matematik, tapi masuk tahun ke2 baru terfikir saya tak suka bercakap macam mana nak mengajar? Diam2 aje saya tinggalkan universiti dan masuk UiTM, masa tu ITM.

Pada masa tu kalau belajar diploma kena ambil 1 subjet bahasa asing. Itu sesuatu yang menggerunkan saya sebab kelemahan dalam mengingati sesuatu. Jadi saya pilih ICMA (The Institute of Cost and Management Accountants). Malangnya saya gagal peperiksaan akhir sebab ada 1 paper yang memerlukan saya tulis report. Hah, ni memang kelemahan saya sampai pencen.

Semasa di ITM saya biasa tulis surat permohonan kepada syarikat2 swasta untuk jalani latihan praktikal semasa cuti semesta. Manafaatnya, habis sahaja peperiksaan akhir, esoknya saya dah mula bekerja. Bekerjalah saya sampai pencen + 1 tahun secara kontrak sehingga Jun 2007.

Dulu saya memang bercita-cita tinggi dalam kerjaya, tapi suatu hari entah macam mana saya tersentak, umpama baru tersedar dari mimpi. Bertahun saya bekerja dari pagi sampai senja atau malam baru balik rumah. Kadang2 Sabtu & Ahad pun kerja. Tambahan pula masa tu gawat 1987. Saya hanya ada memori tentang anak bungsu sampai umur 3 tahun dan masa saya tersedar dia dah berusia 5 tahun. Ya Allah... apa dah terjadi dalam masa 2 tahun tu... Memang saya layan anak2 setiap malam tapi tak ada aktiviti yang melekat di memori. Kenapa? Sebab sepenuh perhatian diberi kepada pekerjaan. Yelah, rumah baru beli, pinjaman kereta belum selesai. Kalau hilang pekerjaan macam mana? Sedih dan kesal rasanya sebab sampai sekarang saya tak ada kenangan dengan anak2 untuk jangka waktu itu.

Malam tu saya peluk ketiga-tiga anak saya. Biarlah tak naik pangkat asalkan kerja dengan tekun dan ikhlas, dapat gaji yang mencukupi walaupun tak mewah. Keutamaan kepada keluarga dan pendapatan hanyalah untuk kelangsungan hidup. Mujurlah suami & saya pilih untuk tinggal di kampung, cabaran hidup taklah mencabar seperti di bandar. Dah 27 tahun kami tinggal di kampung ni, di Klang.

Lepas pencen saya rehat hampir setahun, menikmati hidup sebagai seorang pesara, mengurut sekali sekala sahaja. Lama2 saya rasa mengurut satu aktiviti menyeronokkan dan menyihatkan badan. Mulai April 2008 saya mula mengurut secara serius dan ianya lebih menyeronokkan dari kerjaya dahulu. Seronok sebab tak ada stress. Saya urut secara freelance, tak ada salun jadi tak payah fikir fasal sewa atau gaji pekerja. Kalau ada orang perlukan khidmat saya, saya urutlah, kalau tak ada saya rehat atau buat perkara2 lain yang bermanafaat. Kalau badan kurang sihat atau penat saya minta tangguhkan appointment kalau ada, & rehat.

Dengan menulis blog saya dapat kongsi sedikit sebanyak ilmu yang ada. Semoga mendatangkan faedah kepada sesiapa yang baca dan menjadi saham akhirat untuk saya. Diusia begini tak ada banyak yang saya inginkan, sementelah dari dulu saya sukakan kehidupan yang simple dan tak membazir.

Untuk masa depan? Saya selalu bayangkan sampai usia 85 tahun saya masih sihat. Oh ya… moyang, nenek & datuk saudara saya meninggal sekitar usia 100 tahun. Emak meninggal semasa usia 90 tahun. Rasanya tak salah kalau saya bayangkan di usia 85 tahun saya masih sihat. Saya sangat takut kalau sakit. Jadi saya mesti berusaha menjaga kesihatan, sentiasa check seluruh badan kalau ada signal yang menunjukkan ada sesuatu yang tak kena. Ya, mesti prihatin dengan apa kata badan. Sentiasa berfikiran positif dan jaga kesihatan rohani, jasmani, dan mental. Sentiasa tambah ilmu supaya sel2 otak berhubungan dan tak nyanyuk. Contohilah keaktifan Tun Mahathir dan Prof Ungku Aziz.

Makcik Rokiah : 012-3159028