Semasa mengurut saya dapati ada orang yang berkulit lembab dan ada juga yang berkulit kering walaupun masih berusia duapuluhan atau tigapuluhan. Kadang-kadang saya kurang perasan kerana bukan itu matlamat saya, cuma saya dapati minyak urut perlu digunakan dengan lebih banyak. Itu pun bukan masalah.
Dari pemerhatian kulit mereka biasanya kelihatan agak lebih tua dari umur sebenar (kurang lembab) dan bila ditanya mereka mengaku kurang minum air. Antara sebab kurang minum air:-
- mengajar dan bilik air jauh jadi susah kalau asyik nak berulang ke bilik air. Ini jawapan para guru.
- kerja banyak jadi malas nak berulang ke bilik air. Ini jawapan orang bekerja ofis.
- tak boleh minum air kosong. Ini jawapan sesiapa jua.
Selain dari mempunyai kulit kering mereka juga biasanya mempunyai masalah pembuangan air besar, angin dalam badan, senang kejang otot, atau pening kepala.
Fungsi air dalam tubuh
- melembabkan tisu umpamanya dalam mulut, mata dan hidung
- untuk menstabilkan suhu badan
- melincirkan persendian
- melindungi saraf tunjang anda dan lain-lain tisu sensitif.
- membantu mengelakkan sembelit
- mengurangkan beban pada buah pinggang dan hati dengan melancarkan bahan buangan
- membantu melarutkan mineral dan nutrien lain kedalam badan
- membawa nutrien dan oksigen ke sel-sel
Ada orang mungkin mempunyai sekatan dari meminum banyak air kerana masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang.
Berapa banyak saya mesti minum dalam sehari?
Biasanya kita disarankan minum 8 gelas atau 1.5 liter sehari. Tapi ini pun bergantung kepada saiz badan, cuaca, kesihatan, dan juga aktiviti harian kita. 8 gelas itu pun bukannya dalam bentuk air kosong sahaja kerana air minuman lain, air dalam buah-buahan dan makanan lain juga dikira.
Antara tip menentukan berapa banyak harus diminum:-
- bergantung kepada berapa banyak yang telah keluar melalui penyusuan bayi, kencing, peluh, pernafasan, muntah, air besar.
- tahap kelembapan kulit.
- adakah terasa dahaga.
- adakah terasa pening kepala.
Antara cara untuk dapatkan cukup cecair dalam badan.
- minum sebelum makan. Cara ini juga dapat mengurangkan berat badan kerana anda akan terasa cepat kenyang.
- biasakan kemana-mana dengan membawa sebotol air.
- letak segelas air berhampiran anda, minum sebaik sahaja terasa dahaga.
- minum air bertapis, ada yang kata lebih mudah untuk minum lebih banyak.
- campur sedikit perisa umpamanya lemon.
- makan buahan mengandungi banyak air, umpamanya tembikai.
- hirup sup.
No comments:
Post a Comment