Friday, March 2, 2012

Perihal anak dan ibu

Tak perasan dah lama betul tak update blog ni. Bila ada masa masuk internet niat asal nak update blog tapi otak asyik berlegar apa lagi ilmu nak diteroka, terus tak jadi update. Sekarang ni tengah asyik cari pasal saraf, bekam, acupressure, meridian, dan chakra. Saya nak tahu apa kaitan diantaranya.
Kali ni saya nak tulis pasal bayi memandangkan saya ada pengalaman menarik dengan cucu yang lahir hampir setahun lepas.
1. Saya jaga menantu & cucu lebih kurang 10 hari sahaja. Kerana kesuntukan masa saya jarang berinteraksi dengan cucu ni. Semasa umurnya 4 bulan saya dapati kepalanya teleng ke kanan - sesuatu yang merisaukan saya sebab semua anak & cucu lain tak sebegitu. Mengikut gerak hati, dengan menggunakan jari telunjuk saya urut perlahan-lahan di atas bahu & pangkal leher. Alhamdulillah selepas beberapa minit aje kepalanya agak tegap sedikit. Saya suruh menantu buat cara sama setiap kali lepas mandi. Lepas seminggu kepalanya dah tegap.
2. Dalam mencari ilmu tentang saraf saya terjumpa pasal "torticollis". Rupa-rupanya masalah cucu saya ni ada kaitan dengan masalah torticollis. Kalau dibiarkan boleh menyebabkan tulang belakang bengkok. Cara untuk merawat ialah dengan meniarapkan bayi semasa jaga supaya tulang belakangnya jadi kuat. Rupa-rupanya cucu saya ni tak pernah ditiarapkan sehingga saat itu. Oleh kerana tak biasa, bila saya cuba tiarapkan selama satu minit pun dia dah menangis sebab tak selesa kerana tak biasa. Cara mengatasinya
 (a) biasakan bawa bayi dalam keadaan meniarap, tangan kita tampu dada dan lengan bawah tampu sepanjang badan.
 (b) biasakan bermain-main dengan bayi dengan badannya ditiarapkan atas bola fitness. Jangan tidurkan bayi dalam keadaan meniarap selepas umur 4 bulan kerana banyak kes kematian mengejut berlaku ketika bayi tidur meniarap.
3. Baru-baru ni saya ke rumah sorang klien, kebetulan urut sorang jirannya. Sambil tu tengoklah bayinya yang dah berumur 2 bulan. Katanya anaknya tu asyik toleh ke kiri aje sampaikan kepalanya leper sebelah (memang betul pun...). Ini pun jenis "torticollis" jugak. Jadi saya gunalah jari telunjuk, urut perlahan-lahan pangkal leher depan (sternocleidomastoid muscle). Alhamdulillah selepas beberapa minit aje bayi dah toleh ke kanan. Selepas beberapa hari saya follow-up klien bagitau kepala bayinya dah ok.
4. Cucu yang sama, lengan kanannya terpusing kebelakang sikit (tapak tangan mengadap belakang, bukan ke sisi badan). Gerak hati kata urut bahu, pangkal lengan dan sekitar ketiak (otot trapezius, deltoid, pectoralis, teres). Alhamdulillah, ok.
5. Cucu ni lagi... ibu jari kanan asyik terlipat kedalam (macam genggam tangan dengan ibu jari di bahagian dalam). Saya urut-urut pergelangan tangan (pangkal ibu jari). Banyak pulaklah saya sendawa. Alhamdulillah terus ok.
KITA HANYA BERUSAHA DAN BERDOA, ALLAH YANG MENYEMBUHKAN.
Tu pasal anak, ni pasal mak pulak. Biasanya kalau anak jaundice ibu tak makan jamu. Cina pun biasanya tak ambik jamu masa berpantang tapi mereka amalkan minuman cara mereka. Jadi saya terfikir kenapa tak minum macam mereka (HALAL….) Resipi ni saya dapat dari seorang Cina dan diconfirmkan oleh Cina lain. Terima kasih kerana sudi berkongsi.
   10 biji red dates (kurma merah / buah bidara)
   10 biji longan (mata kucing) kering
   10 biji (ada yang guna 1 sudu) keici (sorry tak tau ejaan yang betul) tapi mat saleh panggil wolfberry, Melayu panggil goji.
   10 biji kurma hitam
   3 biji kurma madu (bukan kurma madu yang kita beli bulan puasa tu. Buahnya agak besar, sedikit keras & bergula))
   (semua bahan boleh dibeli di kedai singseh. Kalau bahan tak cukup pun tak apa. Tanyalah apa khasiat setiap bahan tu)
   Caranya: Rebus semua bahan dengan 1.5 liter air selama 2 jam, api kecil, hingga tinggal 1 liter. 
   Cara saya: Rebus bahan dengan 1.5 liter air dan sedikit gula batu, sehingga mendidih. Masukkan kesemuanya kedalam flask. Lepas 2 jam dah boleh minum. Hahaha… cara malas.
Katanya, dalam pantang nak minum air rebusan ni seberapa banyak pun boleh.

UPDATE PADA 22.6.2015
Saya terima banyak pertanyaan tentang torticollis & ibu jari baby terlipat ke dalam genggam tangan. Yang bertanya tu ada yang tinggal jauh. Nak terangkan agak susah untuk difahami.
Google di youtube jumpalah video yang mungkin dapat membantu. Cubalah, mungkin dapat menyelesaikan masalah.

Untuk torticollis:
Infant Phys Therapy - Torticollis exercises_Part6   by Elizabeth Barden
dan,
Torticollis Exercise: Football Hold  by My Torticollis Baby

Untuk masalah ibu jari boleh tenguk video yang bagus ni. Walaupun peneragannya untuk orang dewasa tapi boleh juga diapplikasikan kepada baby. Kalau kita faham anatomi & apa yang berlaku senanglah kita buat rawatan.
Massage therapist self-care: Thumb pain by Massage Sloth

Nampaknya siri video oleh Massage Sloth sangat bagus sebab penerangannya berpandukan anatomi & body mechanics. (Baru jumpa hari ni).

Makcik Rokiah, Meru, Klang. 012-3159028

Friday, October 28, 2011

Tulang Belakang Sihat Menjadikan Badan Lebih Sihat

Tulang belakang membolehkan anda berpusing, membongkok, dan menegak. Ia juga melindungi saraf tunjang, kumpulan saraf utama yang menghantar maklumat dari otak ke seluruh badan anda.
 
Ada 26 tulang yang dipanggil vertebra terdiri daripada:-
- 7 tulang servikal di belakang leher untuk menyokong kepala.
- 12 tulang toraksik memegang tulang rusuk.
- 5 tulang lumbar di bahagian pinggang.
- sakrum yang merupakan 5 tulang yang sudah bercantum menjadi satu.
- koksiks yang merupakan 4 tulang yang sudah bercantum menjadi satu.
(secara umumnya semasa lahir bayi mempunyai sekitar 270 tulang, sebahagian kemudiannya bercantum menjadikan orang dewasa mempunyai sekitar 206 tulang).

Saya sudah katakan otot teras yang kuat sangat mustahak. Sekiranya otot teras lemah, tulang belakang menjadi lemah, postur kurang bagus, dan kesihatan terganggu. Postur kurang bagus boleh menyebabkan anda bongkok, badan lemah, sakit berpanjangan, dan ketidakmampuan untuk melakukan sesetengah pergerakan.(saya suka bayangkan tulang belakang sebagai satu-satunya lebuhraya yang ada. Apa saja yang berlaku di lebuhraya ini akan menyebabkan aliran trafik terganggu!)


Bila bercakap pasal otot teras ramai orang akan terfikirkan tentang otot abdomen yang kuat dan cantik. Sebenarnya otot teras terdiri dari kumpulan otot yang membentuk bahagian tengah badan sehingga punggung (umpama korset). Kumpulan otot inilah yang berfungsi menstabilkan dan menguatkan pergerakan.  


Saya telah terangkan kaitan antara otot teras yang baik dangan tulang belakang yang bagus. Antara tip menguatkan tulang belakang:- 
- bersenam 
- lakukan regangan 
- lakukan pergerakan, jangan duduk di tempat sama dalam jangka masa yang lama 
- minum air secukupnya bagi mengekalkan kelembapan cakera antara vertebra 
- kurangkan berat badan supaya beban keatas tulang belakang berkurangan 


Senaman yang paling bagus untuk menguatkan otot teras dan tulang belakang ialah Pilates. Senaman ini dapat meregangkan dan juga menguatkan otot. Ia adalah sejenis senaman pemulihan dan menjadikan pergerakan anda lebih dinamik.  

Thursday, October 27, 2011

Kesan kecederaan

Kesakitan otot yang berpanjangan boleh bermula dengan kecederaan kecil kepada otot, tendon dan fascia yang membalutnya, yang disebabkan oleh kecederaan atau penggunaan terlampau. Kalau tidak dirawat dengan segera ia boleh mewujudkan kitaran kesakitan yang menjadikannya lebih teruk. 

Secara amnya lingkaran kesakitan ini seperti berikut:- 
   Kesakitan & disfungsi ---> tekanan (stres) ---> ketegangan (tension) ---> otot menegang ---> aliran darah terjejas ---> sisa metabolik (toksin) berkumpul ---> kesakitan & disfungsi menjadi lebih teruk ---> tekanan bertambah ---> ketegangan otot meningkat ---> pengaliran darah makin berkurang ---> toksin makin banyak ---> dan seterusnya.... 
   Keluasan kawasan yang sakit juga makin merebak. Semakin lama otot jadi sangat tegang, saraf terhimpit, anda tidak dapat merasa sakit lagi. Sangkaan anda, kalau dibiarkan baiklah sendiri. Buktinya sakitnya dah hilang.

Malang sekali sebab sangkaan anda meleset. Contohnya, kecederaan bermula di pinggang tepi tulang belakang. Kecederaan yang bermula sedikit akan merebak hingga ke sisi pinggul, kemudian kelutut, akhirnya anda berjalan seperti robot - kiri, kanan, kiri, kanan... Kita biasa tengok perempuan tua jalan macam ni kan? Tapi orang lelaki jarang jalan macam robot.... Sebabnya orang lelaki tak tahan sakit, sakit sikit aje terus pergi urut. Orang perempuan banyak berkorban, banyak yang hendak difikirkan, dan sentiasa sibuk, banyak duduk, bangun, berjalan, yang menyebabkan otot sekitar tulang belakang menegang. Bila otot tegang, tulang rangka boleh tertarik, alignment out!!! 

Hey... alignment kereta kita betulkan, alignment sendiri tak nak betulkan ker? Kereta ada spare part & boleh ditukar ganti. Badan kita ada spare part ker? 

Nasihat saya rawatlah sebelum merebak, ianya lebih senang dan menjimatkan.  

Tuesday, October 25, 2011

Jagalah postur anda

Kali ni saya tak nak tulis panjang. Saya hanya ingin mengajak anda semua menjaga postur (ada masanya saya pun lupa juga...) sebabnya postur baik dapat menjamin kesihatan yang lebih baik.

Apakah yang dimaksudkan dengan postur yang baik?
Postur kedudukan dimana anda memegang badan anda tegak melawan graviti semasa berdiri, berjalan, duduk atau berbaring. Postur yang baik melibatkan latihan badan yang meletakkannya dalam kedudukan yang paling kurang memberi tekanan kepada otot dan ligamen yang menyokong aktiviti semasa pergerakan atau menanggung berat badan.


Antara kesan postur yang baik:- 
- Mengelakkan keletihan kerana otot sedang digunakan dengan lebih cekap, membolehkan tubuh mengguna tenaga yang kurang.
- Mencegah sakit belakang dan sakit otot.
- Menyumbang kepada penampilan baik.

Melalui pengalaman mengurut saya dapati banyak masaalah yang dihadapi oleh klien disebabkan postur yang kurang baik. Saya akan urut otot-otot yang menegang agar postur akan kembali kepada keadaan yang sepatutnya.

Antara penyumbang utama masalah postur kurang baik dan sakit pinggang dan belakang (ini pun melalui pemerhatian):-
- berjalan menunduk
- berdiri dengan berat badan tidak diseimbangkan antara kanan dan kiri
- berdiri dengan lutut tidak dibengkokkan sedikit (akibatnya kepala akan kehadapan)
- duduk membongkok dihadapan komputer
- otot teras yang lemah. Insya Allah dimasa hadapan saya tulis tentang mustahaknya otot teras yang kuat.

Sebagai renungan bersama saya sertakan petikan dari salah satu blog yang saya baca:
   
        Membiasakan Yang Betul dan membetulkan yang Biasa...
        Untuk( Berubah)- membuang suatu kebiasaan yang negatif - kita mulai dengan mengubah factor-faktor pendorong dan kecenderungan yang mengarah kepada kebiasaan negatif itu. Lalu secara perlahan-lahan kita mulai meninggalkan kebiasaan tersebut. Perkara yang penting untuk mengubah kebiasaan yang negatif memerlukan keyakinan kita tentang kesan negatif dari kebiasaan tersebut dan keinginan untuk mengubahnya.

Thursday, August 11, 2011

Sakit, urut, dan bekam

   Dulu semasa belajar dan bekerja saya selalu menghadapi ketegangan tengkuk, bahu, dan belikat. Masa peperikasaan, lebih 2 jam dalam dewan, sakit belikat macam ada seketul batu besar melekat kat situ. Kalau ada orang tolong tekan-tekankan aah… lega…Semenjak aktif mengurut orang, alhamdulillah, masalah tu hilang. Tapi sekarang bulan puasa saya hadkan aktiviti mengurut kepada orang bersalin & yang urgent sangat, lebih masa depan komputer (sebab tu lah sekarang dapat update blog) rasa sakit di trapezius dah kembali. Dah macam orang-orang yang saya urut tu. Sebab tu lah saya faham apa yang anda rasakan. Saya anggap ianya hikmah Allah kurniakan kepada saya supaya dapat beri rawatan yang lebih memuaskan, dan saya seronok melakukan urutan penyembuhan.
   Kenapa saya sakit bila menghadapi peperiksaan tetapi tiada masalah walaupun mengurut 5-6jam sehari, kecuali penat? Jawapannya mudah. Tubuh badan kita dijadikan untuk melakukan berbagai pergerakan dalam menjalani kehidupan seharian, bukannya mesin yang ditugaskan untuk melakukan pergerakan tertentu sahaja.  Pergerakan terjadi apabila otot-otot bekerja.
   Otot biasanya bekerja secara berpasangan. Sebagai contoh, pergerakan lengan manusia. Otot di bahagian depan lengan dipanggil otot bisep. Otot di belakang lengan dipanggil otot triceps. Apabila otot bisep bekerja (menguncup) otot triceps berada dalam keadaan rilek. Apabila otot triceps menguncup otot bisep pula rilek. Otot boleh menguncup bila semua sel-sel otot tersebut sama-sama menguncup (contract). Apabila otot berada dalam keadaan menguncup atau rilek memanjang....masalah pun timbul....Pengaliran darah dan bekalan oksigen ke otot berkenaan terjejas dan saraf hantar isyarat sakit, otak mengerahkan segala balatentera untuk merawat tempat bermasaalah. Maka terjadilah parut-parut dalam otot. 
   Parut-parut inilah yang membatas pergerakan antara urat-urat otot. (Bila potong daging lembu tu cuba perhatikan bahagian yang keras, susah dipotong tu ada banyak urat-urat halus warna putih antara urat-urat daging. Sama la tu....) Saraf boleh terhimpit, pengaliran darah, oksigen, dan nutrien terjejas, darah berasid, dan toksin berkumpul. Pusingan tindakbalas berterusan.... Kalau dibiarkan kawasan yang kecil, mungkin tak disedari pun akan merebak jadi masalah besar dan anda mula rasa sakit walaupun disebabkan oleh perkara kecil. Pada tahap lebih teruk saraf mula memberontak sebab anda tak peduli dengan isyarat-isyarat sakit yang dihantar, jadi saraf pun tidur. Anda dah tak rasa sakit lagi walaupun diurut dengan kuat. Bagus? Tidak! sebab organ-organ dalaman juga sudah tidak dapat berfungsi secara optimum.
   Biasanya bila klien minta diurut, mereka dah mula rasa sakit. Ada juga yang katanya saja nak servis bagi segar badan, tapi bila saya urut terjumpalah masalah-masalah yang tuan badan sendiri tak sedar.

Bagaimana saya lakukan rawatan?
- saya bertanya apa masalah/hajat.
- perhatikan cara dia berjalan atau lakukan pergerakan.
- jenis pekerjaan yang dilakukan
- banyak duduk/berjalan/dll
- mungkin klien cerita sejarah masaalah
- urut dilakukan setakat klien rasa sakit-sakit sedap dan masih rasa rileks. Jangan paksa diri menahan sakit semasa diurut sebab tujuan urutan ialah untuk melembutkan otot-otot yang tegang, jadi kalau klien menegang menahan sakit ianya sudah bertentengan dengan tujuan urutan dilakukan. Ini prinsip saya, orang lain saya tak tahulah. Jadi, kalau sakit bagitau saya ye.....
- saya analisa pergerakan-pergerakan yang menjadi punca masaalah dan mula urutan dari tempat puncanya. Sebab itulah saya sangat-sangat mengalukan maklumbalas, ia memudahkan kerja saya dan memberi kepuasan kepada klien.
- kalau masalah masih baru, masa urutan lebih pendek, mungkin sekali urut saje dah ok. Masalah kronik perlu rawatan berulang kali, berapa kali saya tak tahu sebab bergantung kepada keadaan. Hanya Allah yang menyembuhkan, saya berusaha, anda berdoa.
- kadang-kadang saya cadangkan klien lakukan bekam kalau saya fikir itu dapat membantu. Sebabnya kalau berurut, otot yang melekat-lekat (orang Melayu kata urat tersimpul) dapat dipecahkan, pengaliran darah meningkat, toksin dikeluarkan melalui perkumuhan, kesannya tak secepat bekam. Ada juga kadang-kadang tu darah bekam pun susah keluar, bukan tak ada toksin, tapi tersumbat. Bila diulangi urut dan bekam pada sesi lain barulah darah keluar dengan lebih banyak. Aah.. lega...
- saya minta klien minum air sebelum dan selepas urut untuk meningkatkan proses detoksifikasi. Klien boleh alami kesakitan selepas urut kalau tidak minum air atau kurang minum air. Sebab itulah saya cuba elak urut selain orang bersalin semasa puasa.

Kenapa perlu bekam?
   Dalam Hadits riwayat Tirmidzi menerangkan : “Bahwa ketika Nabi SAW dalam perjalanan Israk Mi’raj, Baginda bertemu dengan Malaikat yang memerintahkan supaya umat Muhammad SAW menggunakan Bekam sebagai kaedah rawatan penyakit”. Pesan tersebut berulang-ulang sehingga Baginda Rasul takut hal tersebut menjadi Fardlu atas umatnya.
   Gaya hidup kita yang semakin meningkat sibuk dan pengambilan bahan pengawet, bahan kimia didalam diet   dan dadah sintetik (seperti paracetamol), dan sebagainya, menambahkan toksin yang terdapat dalam aliran darah yang boleh melemahkan organ-organ dan mempercepatkan proses penuaan. Badan tidak dapat yang terbaik dari nutrien disebabkan oleh aliran darah yang terjejas. Bekam membantu membuang toksin-toksin ini, mengurangkan asid darah, badan dapat menghasilkan hormon "gembira" yang dipanggil endorfin yang membuatkan anda rasa lebih segar dan rilek.

Kadang-kadang ada juga orang yang telefon saya bertanyakan apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masaalah. Sejujurnya susah saya nak jawab sebab saya hanya dapat mengagak puncanya. Kalau tak dilihat secara fisikal dan testing lokasi sakit saya tak dapat bagi cadangan membina. Kerap juga semasa mengurut baru mendapat ilham rawatan. Hanya Allah yang maha mengetahui.


Tuesday, August 9, 2011

Perihal mengandung dan bersalin

   Hari ni saya nak kongsi serba sedikit apa yang pernah saya alami, pengalaman klien, dan juga apa yang pernah dibaca.
   1. Sorang klien yang pernah bersalin 3 kali operate. Katanya "makcik, saya perhatikan kalau sebelum bersalin badan kita sihat dan tiada masalah kita cepat pulih". Beza umur anak kedua & ketiga genap 1 tahun, tapi semasa mengandung anak ketiga adalah dia suruh saya urut 2-3 kali bila badan rasa kurang selesa. Ramai orang tak tahu semasa mengandung pun kita boleh urut, cuma jangan urut sekitar sekrum sebab banyak saraf ke bahagian peranakan, perut sebab takut baby berpusing dan menyebabkan tali pusat terbelit leher, sekitar keting & tumit sebab takut sebabkan keguguran. Jadi kalau dah tau mengandung jangan pergi urut refleksologi.
   2. Hemoglobin rendah. Sorang klien lagi kata hemoglobin dia sangat rendah, dia ambil RED DATES dan hemoglobin naik sampai 11. Red Dates atau buah bidara boleh dibeli di kedai ubat cina. Ada 2 jenis, kecil dan besar, boleh dimakan terus atau direbus dan minum airnya. Yang kecil lebih bagus, kata singseh bila saya tanya.
   3. Minum banyak air batu semasa mengandung. Memang sedap, ada yang kata tak puas kalau tak minum sejuk. Masalahnya lepas bersalin badan penuh dengan angin. Kekadang sampai 3 hari pun asyik urut buang angin aje. Ada orang dalam pantang pun masih minum air batu. Tapi saya berpantang minum air batu selama berbelas tahun selepas bersalin anak ketiga, hingga sekarang pun minum air batu sesekali aje. Mungkin itu yang buatkan badan sihat walaupun dah 60 tahun. Alhamdulillah.
   4. Jangan angkat punggung semasa bersalin! Ini yang tak ada sesiapa bagi tahu saya sebelum bersalin anak pertama dulu. Akibatnya luka perineum yang menyakitkan. Jadi semasa bersalin tekan punggung kebawah supaya tak terangkat, mana tau sebab sakit tak perasan pulak terangkat punggung.
   5. Susukan bayi seberapa awal yang boleh. Tumpukan sepenuh kepercayaan yang Allah jadikan susu badan cukup untuk keperluan bayi. Mulakan dari masa mengandung lagi. Doa untuk banyakkan air susu: juz 1, surah Al-Baqarah, ayat 60. Zikir untuk melancarkan air susu: juz 30, surah 'Abasa, ayat 20. Insya-Allah cukup & tiada masalah bengkak tetek.
   6. Masalah sakit tetek dan kurang susu.
      - kalau tetek bengkak, keras & sakit, ada yang lekapkan kobis yang dah disejukkan, ada yang tuam dengan air panas, ada yang guna sikat rambut untuk sikat menghala ke putting.
      - kalau putting luka, ambil susu badan dan sapu di tempat yang luka. Jangan biarkan puting berada dalam mulut bayi terlampau lama.
      - kalau susu tak keluar atau sikit, sebelum menyusu atau pam susu pastikan bahagian tetek yang ada ketulan keras diurut dengan cara letakkan jari-jari dan pusing-pusingkan, atau pun dituam dengan air panas.
      - antara cara yang dikatakan paling berkesan untuk tambah air susu: ambil 1 susu besar halba, basuh, rendam air panas, bila dah suam tapis & minum airnya. Lakukan 2-3 kali setiap hari. Ada yang bagitau dia ambil "GNC Herbal Plus-WH Fenugreek" dan terbukti berkesan. Dia beli melalui pos. Sila lihat http://www.gnclivewell.com.my. Ewah.. tolong iklan pulak...
   7. Sakit punggung, pinggul, rasa berat bila nak melangkah. Ada yang menghadapi masalah ni sejak mengandung dan ada juga selepas bersalin. Nasihat saya berurutlah, walaupun semasa mengandung, sebab kalau dibiarkan sakitnya berpanjangan. Jangan harapkan exercise selepas pantang sebab ada yang kata masalah bertambah teruk. 
   8. Masalah sakit punggung, pinggul, susah melangkah juga boleh disebabkan oleh PUBIS DYSFUNCTION. Berbengkunglah selepas bersalin. Saya tenguk di pasaran ada bermacan jenis bengkung dan mutu jahitan kadang-kadang tu kurang memuaskan. Ada yang claim free size tapi bila pakai terlampau besar hingga tak dapat berfungsi sebagai bengkung. Ada yang menyusahkan sampai confuse macam mana nak pakai. Dari maklumbalas klien saya jahit & jual bengkung roda mengikut saiz yang ditempah. Sila tel/sms 012-3159028 untuk keterangan lanjut. 
   9. Urut lepas bersalin operate. Yang ni memang ramai yang tak tau boleh urut lepas cesarean. Paling awal saya urut hari ke-5 dengan cara duduk di kerusi semasa urut belakang dan baring semasa urut bahagian lain. 
   10. Selain berurut bertungku sangat bagus dilakukan selepas bersalin. Ia dapat mengeluarkan darah kotor, angin yang berkumpul, dan melancarkan perjalanan darah. Seeloknya gunalah tungku batu. Ada yang kata tungku besi tak bagus kerana ia boleh rosakkan saraf, mungkin ini ada kaitan dengan larangan nabi supaya jangan gunakan tusukan besi panas. Ramai yang kata susah nak cari batu sungai. Nak tau kat mana nak dapatkan batu buat tungku? Senang aje... Pergi ke kedai jual batu perhiasan taman (banyak di Sungai Buluh tu), belilah batu yang berbentuk bulat lonjong tu, paling sesuai yang berat 1kg-1.2kg. Ini pun asalnya batu sungai atau batu laut, cuma dimesinkan supaya licin. 
   11. Untuk luka jahitan, bolehlah dibasuh dengan air garam, tak pedih pun... Lebih elok kalau air garam diletak dalam dulang dan rendam punggung. Boleh juga rebus campuran daun sirih, manjakani, daun inai dan garam untuk buat cebuk.
   12. Kadang-kadang kalau bersalin anak besar, guna vacuum, peranakan boleh jatuh. Kita rasa seakan-akan ada benda yang nak jatuh tersembul melalui vagina. Ini kes parah. Sebagai ikhtiar cubalah buat tangas. Caranya rebus 9 keping asam keping, 2 sudu besar garam kasar, 3 helai daun sirih, segenggam daun inai, halia sebesar ibu jari, dan 3 biji manjakani. Bila dah panas berasap letakkan periuk rebusan bawah bangku berlubang (boleh juga masukkan dalam baldi atau letak dalam mangkuk tandas) dan duduk di atasnya dan selimut. Biarkan wap yang naik masuk kedalam saluran vagina. Sambil tu buatlah kemutan. Insya-Allah berhasil.
   13. Buang air besar boleh jadi masalah juga. Saya dapati makan banyak sayur sawi semasa pantang memudahkan pembuangan air besar. Ada yang kata sayur kaduk pun bagus.

Thursday, August 4, 2011

Jangan takut minum air

   Semasa mengurut saya dapati ada orang yang berkulit lembab dan ada juga yang berkulit kering walaupun masih berusia duapuluhan atau tigapuluhan. Kadang-kadang saya kurang perasan kerana bukan itu matlamat saya, cuma saya dapati minyak urut perlu digunakan dengan lebih banyak. Itu pun bukan masalah. 
   Dari pemerhatian kulit mereka biasanya kelihatan agak lebih tua dari umur sebenar (kurang lembab) dan bila ditanya mereka mengaku kurang minum air. Antara sebab kurang minum air:-
- mengajar dan bilik air jauh jadi susah kalau asyik nak berulang ke bilik air. Ini jawapan para guru.
- kerja banyak jadi malas nak berulang ke bilik air. Ini jawapan orang bekerja ofis.
- tak boleh minum air kosong. Ini jawapan sesiapa jua.
   Selain dari mempunyai kulit kering mereka juga biasanya mempunyai masalah pembuangan air besar, angin dalam badan, senang kejang otot, atau pening kepala.

Fungsi air dalam tubuh
- melembabkan tisu umpamanya dalam mulut, mata dan hidung
- untuk menstabilkan suhu badan
- melincirkan persendian
- melindungi saraf tunjang anda dan lain-lain tisu sensitif.
- membantu mengelakkan sembelit
- mengurangkan beban pada buah pinggang dan hati dengan melancarkan bahan buangan
- membantu melarutkan mineral dan nutrien lain kedalam badan
- membawa nutrien dan oksigen ke sel-sel

Ada orang mungkin mempunyai sekatan dari meminum banyak air kerana masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang.   

Berapa banyak saya mesti minum dalam sehari? 
   Biasanya kita disarankan minum 8 gelas atau 1.5 liter sehari. Tapi ini pun bergantung kepada saiz badan, cuaca, kesihatan, dan juga aktiviti harian kita. 8 gelas itu pun bukannya dalam bentuk air kosong sahaja kerana air minuman lain, air dalam buah-buahan dan makanan lain juga dikira. 


Antara tip menentukan berapa banyak harus diminum:- 
- bergantung kepada berapa banyak yang telah keluar melalui penyusuan bayi, kencing, peluh, pernafasan, muntah, air besar.
- tahap kelembapan kulit.
- adakah terasa dahaga.
- adakah terasa pening kepala.  

Antara cara untuk dapatkan cukup cecair dalam badan.
- minum sebelum makan. Cara ini juga dapat mengurangkan berat badan kerana anda akan terasa cepat kenyang.
- biasakan kemana-mana dengan membawa sebotol air.
- letak segelas air berhampiran anda, minum sebaik sahaja terasa dahaga.
- minum air bertapis, ada yang kata lebih mudah untuk minum lebih banyak.
- campur sedikit perisa umpamanya lemon.
- makan buahan mengandungi banyak air, umpamanya tembikai.
- hirup sup.