1. Bengkel urutan dan menangani masalah badan sendiri
Semasa umur 8 tahun saya pernah diserang angin ahmar ("kelintasan" istilah orang pantai timur), mulut herot ke kiri, seluruh badan jadi tegang, tangan hanya dapat capai lutut. Berubat secara kampung, banyak kali kena urut seluruh badan. Kesan serangan angin ahmar, bahu dan belakang selalu sakit-sakit dan lenguh. Ada hikmah disebaliknya. Sekarang saya senang bayangkan kesakitan yang dialami oleh klien. Sejujurnya saya jarang dapatkan servis urutan, takut diurut terlampau kuat. Jadi saya buatlah rawatan sendiri. Inilah yang saya ingin kongsi bersama melalui bengkel 4 jam.
Biasanya mereka yang bekerja di pejabat dengan banyak duduk menggunakan komputer sakit belakang, belikat, bahu, dan kepala. Yang banyak berdiri, berjalan dan duduk bangun sakit pinggang kebawah. Yang paling saya kasihan ialah para guru, sakit seluruh badan. Kaum wanita banyak berkorban, keluarga diutamakan, kalau sakit-sakit badan pun tahan, harapannya lama-lama baiklah tu. Masalahnya kadang-kadang bukannya baik tapi badan dah belajar menyesuaikan diri, makin lama makin teruk, kalau diurut pun perlukan rawatan susulan. Bukankah lebih baik kalau tahu teknik rawatan sendiri? Dengan hanya 5-10 minit kita dapat cegah dari melarat?
Kumpulan sasar bengkel ialah semua golongan wanita. Jimat masa, jimat belanja, badan sihat, keluarga bahagia.
2. Ibu dan Anak
Naluri semula jadi anak sangat menyayangi ibu. Cubalah pura-pura sakit, anak yang masih kecil pun tahu mahu menolong. Jadi kenapa tak latih anak untuk mengurut ibu sepertimana yang saya lalui dulu. Tangan anak tak cukup kuat? Itu hanyalah alasan. Pernahkah anda mengalami situasi semasa anda sakit, ada orang membelai atau hanya meletakkan tangan, dan anda dapat rasa sedikit kelegaan? Itulah anugerah Allah, tapak tangan yang kelihatan biasa aje pun adalah bahan terapi. Terpulang kepada kita untuk mengeksploitasi.
Kumpulan sasar kursus satu hari ialah ibu berpasangan dengan anak perempuan 12 tahun keatas. Anak belajar urut ibu, ibu tumpang dapat ilmu. Untung kan?
3. Urutan keluarga
Kita tenguk ibu, ayah, anak, suami, adik beradik sakit. Nak tolong urut tak pandai. Nak cari tukang urut tak tahu di mana. Kenapa tak belajar? Alasan yang biasa saya dengar ialah tangan tak kuat dan tenaga tak seberapa. Tangan saya pun bukannya kuat sangat, itu pun kebiasaannya saya tak perlu guna sepenuh tenaga. Apa rahsianya? Ada dua sebab. Pertama, tahu teknik urutan berkesan dan cara jimat tenaga. Kedua, orang sekarang tidak lagi membanting tulang empat kerat macam zaman dulu, jadi otot-ototnya tak lah sepejal mana (lain lah yang kuat bersukan), urut sikit pun dah terasa sampai ke dalam. Pengalaman membuktikan kecederaan baru lebih cepat pulih, jadi kenapa tunggu sampai melarat?
Kumpulan sasar kursus satu hari adalah semua wanita yang berminat. Sekiranya bakal menimang cucu, urutan semasa mengandung dan lepas bersalin juga boleh diajar. Tak payah pening-pening kepala cari orang lain.
4. Kursus juruterapi urutan
Melalui kursus ini saya akan ajar teknik-teknik urutan yang memerlukan pemahaman lebih mendalam tentang anatomi. Anda juga akan diajar cara urutan ibu mengandung, urutan lepas bersalin biasa atau pun caesarean, sakit-sakit badan, dan sebagainya.
Kumpulan sasar kursus ialah wanita yang ingin menambah pendapatan. Kursus adalah fleksibel, sama ada secara berkumpulan atau perseorangan.
Kesemua kursus menekankan aspek praktikal supaya anda dapat rasai sendiri dan faham.
- Kalau anda dengar/baca anda boleh tahu.
- Kalau anda lihat anda boleh percaya.
- Kalau anda dengar dan lihat anda boleh ingat.
- Kalau anda dengar, lihat, dan lakukan sendiri anda boleh ingat lebih lama.
- Kalau ditambah dengan bertanya kemusykilan anda akan ingat dan faham.
- Kalau anda kembangkan ilmu yang ada anda mungkin jadi pakar suatu hari nanti.
Anda semua dijemput menambah ilmu melalui mana-mana kursus yang saya tawarkan. Bayaran kursus untuk setiap peserta ialah RM300 sehari (RM150 untuk 4 jam). Kursus Ibu & Anak juga dikira sebagai seorang peserta bagi setiap pasangan.
Tempat, tarikh, dan masa boleh dibincang. Waktu yang dicadangkan ialah 9 pagi - 5 petang dengan waktu rehat untuk minum, makan, dan solat sekadar yang perlu. Sebagaimana anda saya juga tidak mahu membazir waktu. Jadi saya akan cuba kongsi seberapa banyak ilmu dalam jangka masa yang ada. Setiap sesi dihadkan kepada 10 orang supaya tumpuan dapat diberikan. Kalau anda kumpul kawan-kawan untuk mengikuti kursus yang sama, bayaran boleh dikurangkan. Kursus dikhaskan kepada kaum hawa sahaja. Mana-mana wanita yang berminat dan ingin keterangan lanjut sila email kepada rokiahhajiibrahim@gmail.com.
No comments:
Post a Comment