Inilah seni urutan yang berteraskan:-
1. Pengetahuan tentang anatomi. Dulu saya tertanya-tanya juga apa gunanya belajar tentang anatomi, kalau nak urut pun urut aje lah. Rupa-rupanya dengan ilmu anatomi kita akan lebih faham tentang penyebab dan akibatnya. Jadi kita tahu sasaran mana yang hendak dituju. Bila mengurut kita bukan lagi sekadar melihat dengan mata kasar, tapi lebih penting ialah melihat dengan mata hati apa yang ada di bawah kulit tempat tangan kita berada.
2. Penggunaan deria tangan, mata, & telinga. Tangan digunakan untuk mengesan tempat bermasalah, untuk mengurut dan manipulasi tempat-tempat tertentu. Mata untuk memerhati keadaan klien, postur, pergerakan, atau tindakbalas yang boleh ditakrifkan sebagai mesej kepada kita. Telinga untuk mendengar maklumbalas atau sebarang bunyi yang dikeluarkan untuk menilai samada urutan yang dilakukan berkesan, atau tahap tekanan tangan bersesuaian atau tidak.
3. Teknik urutan yang bersesuaian dengan orang yang diurut pada masa tersebut. Inilah pentingnya mengetahui pelbagai teknik urutan, bukannya setakat guna ibu jari sahaja. Kalau klien seorang penggeli kita ada caranya. Klien yang takut urutan kuat juga boleh merasai nikmat diurut. Klien yang baru bersalin melalui pembedahan dan tak boleh meniarap pun boleh diurut. Jadi keadaan setiap pesakit adalah berbeza yang memerlukan pendekatan berlainan. Keperluan orang yang sama juga mungkin berlainan diwaktu yang lain. Jadi kepekaan tukang urut adalah salah satu kunci keberkesanan urutan.
4. Pemusatan gerakhati. Tumpu perhatian, guna kuasa minda untuk kesan masalah, dan hilangkan masalah. Syarat ni sangat mustahak terutamanya dalam urutan buang angin. Untuk buang angin tak perlulah kita urut kuat-kuat bagi memecahkan biji-biji angin. Sakit....
5. Jujur, ikhlas, & kreatif. Jujur sebab bukan semua masalah orang yang minta diurut boleh diatasi dengan cara mengurut. Kalau orang terjatuh, bengkak, katanya kaki terseliuh, saya akan tanya samada tulang retak atau tidak sebab saya tak mahu memburukkan lagi keadaan. Ikhlas sebab kalau ikhlas kita akan mengharapkan pertolongan Allah dalam memberi rawatan dan insya-Allah Dia akan menggerakkan seluruh tenaga kita dalam memberi pertolongan. Kreatif - gunakanlah kreativiti anda dalam menunaikan harapan orang. Tak ada acuan tertentu dalam melakukan urutan.
Dengan mematuhi kelima-lima syarat ini insya-Allah urutan kita dapat memuaskan ramai orang.
No comments:
Post a Comment